Siakap Keli
Gambar hiasan via Bernama

Elak Politik Remeh Ketika Pandemik, ADUN Cadang Peruntukan Sama Rata

GEORGE TOWN, 30 Nov (Bernama) — Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang di Pulau Pinang berharap kerajaan negeri mengelakkan politik remeh dalam mendepani pandemik COVID-19 dan mencadangkan agar peruntukan yang sama rata diberikan kepada semua ADUN tanpa mengira parti.

Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bersatu-Bertam) berkata peruntukan sama rata itu sangat perlu menyedari kesukaran dihadapi rakyat pada masa ini.

“Kami tujuh ADUN pembangkang negeri berharap Ketua Menteri Chow Kon Yeow boleh memberi dana akaun khas yang sama jumlah dengan Ahli-Ahli Dewan Negeri kerajaan yang lain.

“Kita perlu menghargai nyawa rakyat dan elakkan politik remeh di kala pandemik. Kami percaya kerajaan negeri prihatin terhadap rakyat tanpa mengira kawasan,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 dan Usul Anggaran Pembangunan 2022 pada persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang di sini hari ini.

Menurut Khaliq Mehtab, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari juga telah memaklumkan bahawa semua ADUN pembangkang akan diberi jumlah peruntukan yang sama dengan ADUN di pihak kerajaan manakala di peringkat Parlimen, rata-rata ahli Parlimen mendapat peruntukan yang sama.

Jumaat lepas, kerajaan Pulau Pinang membentangkan Belanjawan 2022 dengan unjuran defisit lebih tinggi pada RM449.80 juta berbanding RM403.80 juta yang dianggar bagi 2021.

Sumber: BERNAMA

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'