Seorang penduduk di Maryland dilaporkan cuba menghalau keluar ular daripada rumahnya dengan menggunakan asap dari bara api, tetapi secara tidak sengaja telah membakar kediamannya, lapor CNN US.
Menurut laporan, rumah seluas hampir 10,000 kaki persegi di Dickerson, Maryland itu terbakar pada 23 November lalu apabila pemilik rumah cuba menghalau ular untuk keluar, Pete Piringer, ketua jurucakap bagi Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat County Montgomery di Maryland memberitahu CNN.
“Ular telah menjadi isu yang berterusan bagi pemilik rumah ini dan juga penyewa sebelumnya.” kata Pete Piringer.
“Arang digunakan sebagai sumber haba untuk asap, tetapi ianya diletakkan terlalu dekat dengan bahan mudah terbakar, lalu menyebabkan rumah itu terbakar.” jelas Pete Piringer lagi.

Kebakaran dikatakan bermula di ruangan bawah tanah kediaman itu dan merebak dengan cepat ke setiap tingkat kediaman itu, lapor WJLA melalui CNN US.
“Pemiliknya berada di rumah beberapa jam sebelum itu, tetapi mujur tiada sesiapa berada di sana pada masa awal kebakaran itu terjadi.” tambah Pete Piringer.
“Seorang jiran yang dikatakan sedang lalu lalang, melihat asap itu lalu menghubungi 911.” Pete Piringer memberitahu CNN.
Lebih kurang pukul 10 malam 75 anggota bomba yang tiba di lokasi kejadian.
“Tiada pili bomba di kawasan itu.” kata Pete Piringer, Ketua Jurucakap Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat County Montgomery di Maryland.
“Itu tak jadi masalah kepada kami, sebab kami sudah biasa, tetapi kami terpaksa ulang-alik dari lori tangki air.” tambahnya lagi.
Menurut laporan, ianya mengambil masa beberapa jam untuk bomba mengawal api. Kebakaran itu dilaporkan tidak padam sepenuhnya sehingga keesokan paginya.

Akibat kejadian itu, kerosakan yang dilaporkan menelan kos lebih $1 juta (RM4,231,000), kata Piringer. Rumah itu baru-baru ini dibeli dengan harga $1.8 juta (RM7,615,800) menurut rekod awam.
Pihak bomba menganggap kejadian itu sebagai satu kemalangan kerana tiada bukti, atau niat yang menjurus kepada berlakunya kebakaran.
Memandangkan tiada siapa di rumah pada masa itu, jadi tiada kecederaan dilaporkan.
Status ular tersebut tidak diketahui, tetapi memandangkan situasi rumah itu yang telah runtuh, mereka mengandaikan ular itu sudah tidak ada di situ.
Sumber: CNN US