Siakap Keli
Gambar via Mothership

Buka Pelitup Muka Beberapa Saat Untuk Rasa Sos, Penjaja Dikenakan Kompaun RM900

Kerana membuka pelitup muka beberapa saat untuk merasa sos buatannya, penjaja nasi itik dari Pasar Geylang Bahru, Singapura ini dikenakan kompaun oleh penguatkuasa setempat.

Menurut Mothership, penjaja tersebut yang dikenali sebagai Wang ketika itu sedang memotong daging itik di belakang kaunter gerai sementara isterinya melayan para pelanggan yang sedang beratur. Disebabkan pelanggan yang berkunjung ke gerainya agak ramai, Wang mengambil  ingin mengisi sos baharu setelah melihat baki sos sebelumnya semakin berkurang.

Wang kemudian membuka pelitup muka yang dipakainya, berniat untuk menguji terlebih dahulu rasa sos tersebut sebelum disajikan kepada pelanggan yang ketika itu sedang beratur di gerainya. Pada masa yang sama, dua orang penguatkuasa mendekati Wang dan meminta dokumen pengenalan peribadinya, disusuli tiga penguatkuasa lain.

“Dari belakang, tiga orang penguatkuasa datang dan berkata bahawa saya menyalahi peraturan kerana tidak memakai pelitup muka. Mereka menegaskan jika saya tak beri kerjasama, mereka akan panggil pihak polis,” jelas Wang memetik laporan Mothership.

Melihat para pelanggan yang sedang sabar beratur, Wang hanya mengikut arahan pihak berkuasa dan berniat menjelaskan sebabnya kemudian. Hari berikutnya, Wang menghubungi pihak berkuasa memohon agar dia dilepaskan namun rayuannya gagal.

Sangkaannya dia hanya akan diberi amaran, namun pihak berkuasa bertindak sebaliknya dengan mengenakan kompaun sebanyak S$300 (kira-kira RM928) terhadapnya. Bayaran kompaun tersebut perlu dibuat sebelum 16 Disember ini atau Wang akan dikenakan penalti.

Menurut Wang, selama berniaga dia tidak pernah mengabaikan faktor kebersihan dan sentiasa memakai pelitup kepala. Tambahnya, dia memahami prosedur yang dijalankan ketika pandemik. Namun dalam hal ini Wang berpendapat tindakan yang dikenakan agak keterlaluan kerana baginya ruang kerja di gerainya bukan kawasan umum.

“Kompaun bukanlah perkara yang besar. Saya cuma risau ia berulang lagi. Bila hal ini terjadi, saya bukan setakat kena kompaun, perniagaan saya boleh digantung. Itu yang cuba saya elakkan,” katanya yang telah 30 tahun berniaga di situ.

Sumber: Mothership

Eyla Azri