Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Netizen 'Berkampung' Di Komen, Kongsi Saat Pertama Lihat Ayah Menangis

Hannah
ayah menangis
Gambar: AI/ImageFX

Netizen 'Berkampung' Di Komen, Kongsi Saat Pertama Lihat Ayah Menangis

Di dunia ini, ibu dan ayah adalah insan pertama yang mengajar kita tentang kasih sayang.

Kalau ibu sering dikaitkan dengan kelembutan dan pelukan hangat, ayah pula biasanya dikenali sebagai insan yang sentiasa kuat.

Dialah yang keluar mencari rezeki, menyelesaikan masalah dan menjadi tempat keluarga bergantung harap.

Sebab itu, ramai anak membesar dengan satu tanggapan yang sama. "Ayah tidak menangis". Atau sekurang-kurangnya, itulah yang kita fikirkan.

Hakikatnya, mereka juga ada rasa sedih, kecewa, takut dan kehilangan. Bezanya, kebanyakan mereka memilih untuk menyimpan semuanya sendiri.

"Korang pernah nampak ke ayah korang nangis?"

Baru-baru ini, satu soalan ringkas yang dikongsikan oleh seorang pengguna Threads berjaya menyentuh hati ramai netizen.

Soalan biasa yang mungkin klise, tapi siapa sangka ruangan komen akhirnya dipenuhi ratusan kisah yang meruntun jiwa.

Salah satu perkongsian yang paling menyentuh hati datang daripada seorang wanita yang menceritakan detik ayahnya menangis selepas kehilangan cucu pertama.

Menurutnya, ayahnya terlalu teruja menanti kehadiran cucu selepas dia melalui tempoh panjang untuk mendapatkan zuriat.

Namun kegembiraan itu tidak bertahan lama apabila bayi tersebut meninggal dunia.

Ayah menangis waktu cucu dia meninggal which is anak saya. Sedih sangat. Dia punya excited nak dapat cucu sebab saya TTC. Banyak keperluan baby dia yang keluarkan duit macam stroller, babycot. Lepas baby dah meninggal ayah kerap pergi kubur and bersihkan kubur cucu dia. Tapi lepas setahun cucu dia pergi, dia pun pergi. Now ayah saya pun dah takde. Mesti dia happy jumpa cucu dia dah.

Seorang ayah juga manusia biasa

Bagi seorang wanita lain, dia masih mengingati malam pertama melihat ayahnya benar-benar rebah selepas pemergian ibu tercinta.

Katanya, ayahnya tidak pernah menangis di hadapan anak-anak.

Namun suatu malam, dia terjaga daripada tidur apabila terdengar esakan tangis yang begitu kuat.

Apabila membuka mata, dia melihat ayahnya sedang berdoa dan memohon kekuatan daripada Allah SWT.

Menurutnya, sehingga hari ini, walaupun sudah tiga tahun isterinya meninggal dunia, ayahnya masih setia menyimpan cinta yang sama.

Time mak meninggal. Dia tak nangis depan kami tapi nangis masa doa lepas solat. I tengah tido pastu dengar orang nangis teresak-esak, that time I buka mata nampak abah I tengah berdoa minta kekuatan dari Allah, for the first time I tengok abah down teruk macamtu. Tapi depan kami dia suruh kami kuat. Dia bukan setakat hilang isteri tapi dia dah hilang separuh jiwa raga dia peneman hidup semati. Now dah 3 tahun mak pergi dan abah masih setia.

Seorang lagi netizen berkongsi detik paling memilukan apabila melihat ayahnya menangis sehari selepas pengebumian kakaknya.

Katanya, itulah kali pertama dia melihat lelaki yang selama ini menjadi tonggak keluarga meluahkan apa yang terbuku di hati.

Abah just pesan 'nak buat apa, buatlah. tapi satu hari nanti jangan tinggal abah sorang lama-lama, takut abah mudah nyanyuk takut nanti abah tak ingat orang'.

Tetap berjuang meski 'patah'

Seorang netizen turut berkongsi kisah ayahnya yang bekerja sebagai pekebun sawit sepanjang hidup.

Menurutnya, ayahnya seorang yang sangat kuat. Kepala terkena sabit ketika bekerja pun hanya pulang membersihkan luka sebelum kembali bekerja keesokan harinya.

Namun segalanya berubah apabila komplikasi diabetes menyebabkan sebelah kakinya terpaksa dipotong.

Itulah pertama kali saya nampak dia nangis time tu hujan lebat. Makin lebat makin kuat dia nangis. Dia cakap macam mana dia nak kerja kaki tak ada. Tapi lepas 6 bulan dia potong kaki. Dia dengan bertongkat 2 kaki pergi kebun kutip biji sawit. Sekarang dah 6 tahun berkaki palsu. Masih lagi angkat sawit.

Merasa gagal walau sudah cukup sempurna

Satu lagi kisah yang membuat ramai tersentuh adalah perkongsian seorang wanita yang hanya membeli gelang aksesori murah secara dalam talian.

Ketika sedang melihat barang tersebut, ayahnya tiba-tiba menangis.

Pernah. Lagi beberapa hari nak kenduri kakak I, parcel I sampai. I beli rantai tangan yang RM2.90 tu just untuk accessories je. Then abah I tanya, 'Beli apa dik?' I pun cakap, 'Beli rantai tangan dekat Shopee, murah-murah je, RM5 pun tak sampai'. I tengah belek-belek rantai tu, tiba-tiba abah nangis. I tanya dia kenapa nangis, terus dia cakap, 'Abah minta maaf sebab tak mampu belikan rantai emas untuk adik'.

Seorang lagi netizen berkongsi kenangan yang tidak mungkin dilupakannya.

Ketika mahu kembali ke universiti, dia menghulurkan sedikit duit kepada ayahnya yang sudah tidak bekerja akibat strok. Namun, ayahnya tiba-tiba menangis.

Masa tu saya nak balik U, saya tahan air mata masa nak salam ayah pastu saya hulur sikit duit belanja kat ayah since ayah dah tak kerja sebab strok. Ayah menangis cakap 'Adik lagi perlukan duit dari ayah'. Memang saya meraunglah waktu tu. Saya tetap berkeras nak bagi, sebab memang niat nak bagi. Moment tu saya akan kenang sampai bila-bila.

Membaca ratusan komen di ruangan Threads itu mungkin membuatkan ramai sedar satu perkara.

Kita selalu melihat ayah sebagai insan yang kuat. Kuat bekerja. Kuat menghadapi masalah. Kuat menanggung kesusahan.

Sampai kadang-kadang kita terlupa bahawa mereka juga manusia biasa yang mempunyai rasa takut, sedih, kecewa dan rindu.

Mungkin sebab itulah saat melihat seorang ayah menangis, hati anak-anak turut hancur.

Hakikatnya, air mata seorang ayah bukanlah tanda kelemahan. Ia adalah bukti betapa dalamnya kasih sayang yang dipendam selama ini.

Sumber:Threads