Siakap Keli
Gambar Via APM Marang

Antara Yang Terbesar, APM Marang Berjaya Tangkap Dua Ular Sawa ‘Gergasi’, Berat Lebih 200kg

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dilaporkan telah menangkap dua ekor ular sawa seberat lebih 200 kilogram di tapak pembinaan di Kampung Gong Nangka, semalam.

Menurut laporan Utusan, kedua ular sawa itu ditemukan secara berasingan ketika buruh binaan melakukan kerja-kerja rutin menggunakan jentolak.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah, Leftenan (PA) Mujahid Abd. Wahab berkata tangkapan pertama membabitkan ular seberat 250 kilogram dengan panjang mencecah 5.7 meter manakala berat ular kedua pula hampir 200 kilogram dan panjang 4.2 meter.

Tangkapan itu dilakukan setelah menerima panggilan berhubung penemuan reptilia itu pada pukul 2 petang.

“Pusat kawalan operasi menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 2 petang dan tiga anggota bertugas mengambil masa 25 minit untuk menangkap ular sawa berkenaan.

“Pada pukul 2.34 petang, satu lagi panggilan diterima untuk menangkap ular di lokasi sama dan operasi itu selesai dalam tempoh 15 minit,” kata Leftenan Mujahid.

Difahamkan, kedua-dua ular sawa itu merupakan antara yang terbesar pernah ditangkap APM pada tahun ini. Ia akan dipindahkan ke Zoo Kemaman dalam masa terdekat.

Sumber: Utusan, APM Marang

Sofea

There's always another side to every story