KLUANG, 20 Nov (Bernama) -- Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bersiap siaga menggerakkan kira-kira 400 anggota Pasukan Institusi Pertahanan Awam (PISPA) berkemahiran tinggi bagi membantu mangsa pascabencana, termasuk banjir.
Pengarah Bahagian Pengurusan Angkatan APM TPj (PA) Dr Mohamad Fazli Sardi berkata kesemua anggota berkenaan adalah lepasan Kolej Vokasional (KV) di seluruh negara yang memiliki latar belakang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Beliau berkata kepakaran teknikal dan vokasional itu membolehkan mereka membantu meringankan beban mangsa sebaik pulang ke kediaman masing-masing.
“Penugasan ini berbeza dengan anggota APM lain yang bertumpu kepada operasi menyelamat ketika bencana berlaku. Sebagai contoh, bantuan yang bersesuaian ialah kerja-kerja baik pulih perabot dan membaiki peralatan elektrik di kediaman mangsa banjir mengikut kemahiran yang dimiliki anggota PISPA terbabit.
“Dalam masa terdekat, pasukan ini akan diletakkan dalam keadaan siap siaga bersempena musim Monsun Timur Laut (MTL),” katanya selepas program Himpunan Kebangsaan Briged APM@TVET KPM 2026 di Pusat Latihan Pertahanan Awam Wilayah Selatan (PULAPAS) di sini hari ini.
Mohamad Fazli berkata setakat ini, anggota PISPA berkemahiran TVET berkenaan dilahirkan menerusi kerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) melibatkan 86 KV di seluruh negara, termasuk di Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata penyertaan kali ini adalah hasil pengambilan pertama PISPA daripada KV yang bermula pada 2025.
“Pelatih perlu melengkapkan modul selama empat semester merangkumi empat teras utama, iaitu kawad kaki, masakan rimba, kraf gajet dan pertolongan cemas yang menjadi syarat asas untuk menjadi anggota APM,” katanya.
Sementara itu, Mohamad Fazli memaklumkan sasaran kerajaan tahun ini untuk mencapai 150,000 anggota APM aktif yang siap siaga digerakkan pada bila-bila masa berjaya dicapai.
Beliau berkata pencapaian itu merangkumi Anggota Sukarelawan Pertahanan Awam (ASPA), dengan rekod keseluruhan keanggotaan APM berdaftar kini mencecah 2,314,332 orang.
“Selain itu, setakat Oktober 2026, terdapat 26,735 pelatih PISPA yang masih menjalani latihan, 26,147 anggota Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (SISPA) serta 120,100 Kadet Sekolah Pertahanan Awam (KASPA),” katanya.

