Siakap Keli

Caj Perkhidmatan IWK Adalah Salah Satu Yang Terendah Di Dunia, Ini Yang Korang Patut Tahu Pasal Sistem Pembetungan Di Malaysia

Setiap hari sisa kumbahan akan dihasilkan di setiap isi rumah yang didiami oleh orang ramai. Bagi yang belum tahu, negara kita menggunakan dua jenis sistem pembetungan utama iaitu sistem pembetungan bersambung dan Tangki Septik Individu (IST) atau Tangki Septik Komunal. Ada juga, sistem tandas tradisional seperti tandas curah dan atau tandas palong, yang kebanyakkannya masih digunakan di luar bandar.

Sistem pembetungan bersambung merupakan sistem yang lebih moden di mana rumah-rumah atau premis bangunan bersambung terus ke loji rawatan kumbahan melalui saluran paip pembentungan bawah tanah. Ini bermakna segala air kumbahan yang dilepaskan daripada premis bersambung ini akan terus disalirkan kepada loji-loji rawatan kumbahan untuk dirawat sebelum dilepaskan semula ke perairan dan sungai.

Bagi premis yang menggunakan sistem tangki septik pula, air sisa kumbahan akan disalurkan ke dalam tangki khas yang kebiasaannya dibina di belakang premis atau bangunan dan perlu dikosongkan sekurang-kurangnya sekali dalam dua tahun.

IST meliputi dua ruang yang bersambung secara bersiri. Ruang pertama menyaksikan pepejal daripada kumbahan yang mendap dan membentuk lapisan skum dan setelah itu efluen di antara lapisan skum. Efluen di antara lapisan skum dan enapcemar akan mengalir ke ruang kedua di mana pemendapan seterusnya akan berlaku.

Apa akan berlaku jika sisa kumbahan tidak dibersihkan dengan betul?

Oleh itu, pernah atau tidak korang tertanya-tanya apa yang akan berlaku jika sisa kumbahan ini tidak dibersihkan dengan sebaiknya? Ke mana sisa kumbahan itu akan pergi dan kesannya kepada manusia dan alam sekitar?

Bayangkan apa akan terjadi kepada persekitaran kita jika segala air sisa kumbahan yang mengalir daripada rumah kita dilepaskan begitu sahaja ke alam sekitar.

Air sisa kumbahan sebenarnya boleh menyebabkan pencemaran air dan terdedah kepada penyakit bawaan air terutama bagi pengguna tangki septik kerana jika tangki tidak dikosongkan dalam tempoh yang terlalu lama, sisa kumbahan tersebut akan keluar dan terus mengalir ke longkang, parit dan sungai tanpa dirawat.

Kerana itulah, kerajaan sentiasa berusaha memastikan sistem pembetungan yang moden diwujudkan dan ini terbukti dengan penubuhan syarikat pembetungan nasional, Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd, yang telah menyediakan perkhidmatan pembetungan kepada rakyat Malaysia dan memastikan air sisa yang disalurkan ke loji rawatan kumbahan IWK dirawat secara menyeluruh supaya dapat dilepaskan ke alam sekitar dengan selamat.

Caj perkhidmatan pembetungan paling rendah di dunia

Namun, tahukah korang, caj perkhidmatan pembetungan IWK adalah antara yang paling terendah di dunia? Malah, kos operasi yang kian meningkat saban tahun, tidak dapat menampung kos sebenar kerana caj perkhidmatan domestik IWK bagi sistem bersambung hanya RM2-RM8 sebulan tetapi kos penyelenggaraan adalah kira-kira RM17 sebulan.

Manakala, bagi pelanggan yang menggunakan sistem IST pula hanya membayar RM144 untuk setiap perkhidmatan, tetapi kos sebenarnya adalah kira-kira RM 263.

Mungkin, ada antara kita yang masih tidak tahu dengan jelas mengenai caj pembetungan di negara ini. SK kali ini akan berkongsi dengan korang mengenai caj pembentungan bagi pelanggan domestik yang sememangnya korang perlu tahu.

Tarif caj pembentungan ditentukan kerajaan 

Kerajaan telah menentukan tarif caj berdasarkan kepada prinsip kemampuan dan kesaksamaan bagi memastikan hasil kutipan daripada pelbagai kategori pelanggan cukup untuk membiayai pembelanjaan pembangunan dan pengurusan sistem pembentungan yang moden dan efisiem di negara ini.

Kegagalan pelanggan untuk membayar bil akan menjejaskan kerja-kerja membaiki dan menaik taraf semua loji rawatan kumbahan di seluruh negara kerana sebahagian besar sumber kewangan diperolehi daripada caj-caj tarif.

Caj pembentungan untuk perkhidmatan bersambung dan sistem IST

Setiap bulan, isi rumah bagi Domestik kebiasaannya dikenakan kadar minimum untuk perkhidmatan pembetungan. Ia termasuk rumah kos rendah, rumah kediaman estet dan rumah kediaman kampung. 

Caj yang dikenakan mengikut kategori

Kategori 1

Rumah kediaman kos rendah dan rumah Kerajaan di dalam kategori F, G, H dan I yang menerima sama ada Perkhidmatan Tangki Septik Individu atau perkhidmatan Pembetungan Bersambung perlu membayar RM2.00 sebulan.

Kategori 2

Rumah kediaman kampung, rumah kediaman kampung baru, rumah kediaman estet yang menerima sama ada Perkhidmatan Tangki Septik Individu atau Perkhidmatan Pembetungan Bersambung perlu membayar RM3.00 sebulan.

Kategori 3

Premis dan rumah kerajaan di dalam kategori A, B, C, D dan E yang menerima Perkhidmatan Tangki Septik Individu perlu membayar RM6.00 sebulan.

Kategori 4

Premis dan rumah kerajaan di dalam kategori A, B, C, D dan E yang menerima Perkhidmatan Pembetungan Bersambung perlu membayar RM8.00 sebulan.

Bagi perkhidmatan pengosongan IST pula, pelanggan perlu membayar antara RM48.00 dan RM144.00 untuk setiap servis dan pemilik hanya perlu mengosongkan IST sekali setiap dua tahun. Ini bermakna, caj sebulan adalah antara RM2 dan RM6 untuk perkhidmatan pengosongan IST.

Pelarasan caj perlu dipertimbangkan

Walaupun teknologi dan peralatan telah dipertingkatkan sejak beberapa tahun yang lalu dan pelanggan dapat menikmati akses kepada persekitaran yang bersih dan sihat, tetapi caj pembetungan tidak pernah berubah sejak 27 tahun yang lalu. Pada masa yang sama, terdapat kira-kira 1.3 juta tangki septik individu dan 800,000 tangki tradisional di Malaysia yang boleh menyumbang kepada pencemaran alam sekitar jika tidak diurus dengan baik.

Jadi, korang rasa masuk akal tak kalau caj perkhidmatan pembetungan IWK diselaraskan bagi menampung kos operasi mereka yang kian meningkat? Untuk info korang, IWK mencatatkan kos operasi dan penyelenggaraan yang tinggi disebabkan peningkatan dalam aset yang diambil alih dan kos elektrik. Tu belum kira kos inflasi sepanjang tahun!

Justeru, kalau dapat diselaraskan tarif atau caj perkhidmatan pembetungan IWK ini, pastinya ia bukan sahaja dapat memberi kemampanan kepada perkhidmatan IWK, tetapi yang paling penting dapat memastikan IWK terus mengekalkan kelestarian alam sekitar dan kesihatan awam yang baik.

Untuk maklumat lanjut dan info mengenai perkhidmatan IWK, korang boleh layari www.iwk.com.my

Sofea

There's always another side to every story