Siakap Keli
Gambar Via Badminton Photo

Kecederaan Jadi Batu Penghalang Buat Zii Jia Buru Gelaran Juara Dunia

KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) — Kemaraan jaguh perseorangan badminton negara, Lee Zii Jia untuk memburu gelaran juara dunia pada Kejohanan Dunia BWF 2021 berakhir selepas beliau terpaksa menarik diri dalam set ketiga perlawanan suku akhir menentang Anders Antonsen dari Denmark di Huelva, Sepanyol hari ini.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Palacio de los Deportes Carolina Marin, Zii Jia yang merupakan pemain pilihan keenam mempamerkan aksi kelas tersendiri dan menundukkan pemain nombor tiga dunia Anders 21-12 dalam set pertama  tetapi lepuh pada kaki kanannya menjejaskan permainan di pertengahan set kedua yang membolehkan pemain Denmark itu mengatasinya dengan 21-8.

Biarpun masih cuba meneruskan aksinya, Zia pemain nombor tujuh dunia tidak berupaya menahan kesakitan apabila beliau menarik diri pada set ketiga yang menyaksikan Anders mendahului dengan selesa, pada 11-1.

Sebaliknya, hari ini merupakan detik kegembiraan buat beregu lelaki profesional negara,  Ong Yew Sin-Teo Ee Yi yang melakukan kejutan besar dalam kejohanan ini apabila mereka menumbangkan Juara Olimpik Tokyo,   Lee Yang-Wang Chi Lin dari Taiwan.

Selepas ketinggalan set pertama 12-21, Yew Sin-Ee Yi bangkit kembali dengan penuh bersemangat pada dua set seterusnya dengan kemenangan 21-17 dan 21-15 untuk berhadapan beregu pilihan kelima  Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dari Jepun di peringkat separuh akhir.

Takuro-Yugo sebelum itu menewaskan beregu senegara Keiichiro Matsui-Yoshinori Takeuchi, 21-18, 21-12.

Sementara itu dalam beregu campuran, cabaran Malaysia menerusi pilihan ke-10 Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie berakhir setelah mereka tewas 15-21, 13-21 kepada pilihan kedua Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai dari Thailand.

Sumber: BERNAMA

" "