Beberapa ekor monyet dilaporkan telah membunuh 250 ekor anjing di sebuah daerah di India dengan mengheret haiwan itu ke puncak bangunan dan pokok sebelum menjatuhkannya ke bawah.
Memetik laporan Daily Mail, penduduk mendakwa bahawa keganasan yang berlaku itu merupakan tindakan ‘balas dendam’ selepas sekumpulan anjing membunuh salah seekor bayi monyet tersebut.
Insiden ngeri itu telah berlaku d kampung Majalgaon, berdekatan daerah Beed di Maharashtra.
Susulan kejadian itu, penduduk mengatakan bahawa tiada seeekor pun anak anjing yang kini berada di kampung itu.
Walaupun kelihatan mustahil namun gambar yang disiarkan oleh media India mengesahkan bahawa kejadian itu benar-benar berlaku. Menerusi salah satu gambar yang dikongsikan kepada umum, seekor monyet dilihat berada di atas bumbung sambil membawa anak anjing ke pinggir banggunan.
Rakaman lain pula memaparkan anjing yang mengejar monyet melalui jalan kampung ketika seorang wanita dan kanak-kanak berlari untuk menyelamatkan diri.
Penduduk kampung itu menghubungi pegawai di jabatan hutan dan meminta agar mereka menangkap kesemua monyet liar itu. Bagaimanapun, pegawai hutan dipercaya tidak berjaya menangkap monyet tersebut.
Sementara itu, penduduk juga mengatakan bahawa mereka cuba untuk menyelamatkan anjing-anjing di kampung itu tetapi usaha mereka itu juga telah ditentang oleh kumpulan monyet tersebut.
Haiwan itu dipercayai turut menyerang penduduk kampung sehingga menimbulkan rasa panik dalam kalangan mereka.
Dalam satu kejadian yang dilaporkan, seorang kanak-kanak berusia lapan tahun telah ditangkap dan diseret oleh monyet-monyet itu, memaksa penduduk kampung melemparkan batu ke arah haiwan itu untuk menakutkan mereka.
Sumber: Daily Mail