Siakap Keli
Gambar: via Bernama

“Jangan Biarkan Kanak-kanak Bermain Air”, Ketahui Tips Keselamatan Sebelum, Semasa & Selepas Banjir

Banyak laporan berita yang kita dengar melibatkan banjir di beberapa kawasan di Malaysia. Seperti yang kita sedia maklum, banjir sememangnya menimbulkan pelbagai ancaman keselamatan dan kesihatan kepada orang awam khususnya mangsa banjir.

Adalah penting untuk anda mengetahui tips-tips keselamatan musim banjir ini bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini.

Oleh itu, Kementerian Kewangan Malaysia ada berkongsikan beberapa tips keselamatan banjir.

Menerusi perkongsian ciapan di akaun rasmi Kementerian Kewangan Malaysia tips yang dikongsikan melibatkan keselamatan sebelum, semasa dan juga selepas banjir.

1. Sebelum banjir
Sangat penting untuk anda menyimpan sebarang dokumen penting di tempat yang selamat atau bawa dokumen itu ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Bukan itu sahaja, anda dinasihati untuk menutup semua suis utama elektrik, injap utama bekalan air dan gas sebelum meninggalkan rumah.

2. Semasa banjir
Anda perlu menjauhi dan jangan sentuh mana-mana kabel atau wayar yang terputus begitu juga dengan wayar elektrik yang sudah jatuh ke dalam air.

Bagi ibu bapa yang mempunyai kanak-kanak kecil, anda diminta untuk tidak membiarkan kanak-kanak itu bermain air banjir.

Hal ini kerana, dibimbangi kanak-kanak tersebut lemas.

3. Selepas banjir
Anda dinasihati untuk tidak menghidupkan sebarang peralatan elektrik yang sudah terendam di dalam banjir.

Jika ingin perkakas elektrik tersebut dibaiki, adalah lebih baik untuk anda membawa peralatan itu untuk pembersihan, pemeriksaan dan pembaikan yang dikendalikan oleh juruteknik di kedai peralatan elektrik.

Sumber: Kementerian Kewangan Malaysia

Nadhirah