Siakap Keli

UDA Agensi Di Bawah MEDAC Salur Bantuan Berjumlah Rm50,000 Kepada Komuniti Terjejas Banjir

KUALA LUMPUR, 20 Disember 2021 – UDA Holdings Berhad (UDA), syarikat pemaju hartanah, pengurusan asset, fasiliti yang juga agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) tampil menyalurkan sumbangan berjumlah RM50,000 berupa pek makanan serta barangan keperluan asas kepada komuniti yang terjejas bencana banjir di beberapa buah kawasan sekitar Lembah Klang.

Prihatin dengan keadaan mangsa banjir yang terjejas, UDA Holdings Berhad yang merupakan agensi di bawah MEDAC berkolaborasi dengan AnCasa Hotels & Resorts terus giat menyalurkan 600 bakul makanan yang merangkumi bahan asas keperluan harian di beberapa buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dengkil, Gombak, Shah Alam, Kuala Langat dan Hulu Langat.

Sebanyak 1,000 pek makanan disalurkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Sungai Serai bagi membantu sebahagian kumpulan terjejas di Hulu Langat termasuk kakitangan UDA yang tinggal di daerah tersebut. Pek nasi berlauk itu telah disediakan dengan kadar segera oleh AnCasa Hotels & Resorts bagi memastikan mereka dapat menikmati hidangan makan malam. 

UDA juga turut menyalurkan 600 bakul makanan merangkumi bahan asas kering seperti mi segera, beras, telur, roti dan kaya ke beberapa buah PPS di Seremban/Dengkil, Shah Alam, Gombak dan Kuala Langat. Selain itu, UDA menerusi anak syarikat UDA Dayaurus Sdn Bhd turut menghulurkan bantuan tenaga kerja di mana seramai 10 kakitangan membantu membersihkan rumah yang terjejas akibat banjir di kawasan Kuala Langat.

YBhg. Datuk Norliza Abdul Rahim, Pengerusi UDA berkata, “Peka dan prihatin dengan komuniti terkesan akibat banjir yang tidak dijangka sekitar Lembah Klang, UDA mengambil inisiatif menyalurkan bantuan keperluan segera berupa makanan dan keperluan asas ke beberapa buah kawasan. Bantuan kecil ini diharap sedikit

sebanyak dapat meringankan beban seterusnya memulihkan semangat mereka. Marilah kita sama-sama membantu sebagai sebuah Keluarga Malaysia,” kata beliau.

Siti Fatimah