Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan luruan monsun bakal berlaku pada 27 Disember hingga 30 Disember 2021.
Luruan monsun atau monsoon surge adalah angin sejuk dari Siberia yang menyebabkan angin kencang dan laut bergelora di Laut China Selatan.
Difahamkan, keadaan tersebut berpotensi menyebabkan hujan berterusan di Johor Timur, Sabah Timur dan Sarawak Barat dalam tempoh 28 Disember hingga 30 Disember nanti.
Di samping itu, angin kencang dan laut bergelora diramal berlaku di perairan Laut China Selatan termasuklah kawasan perairan Pantai Timur Semenanjung pada 26 Disember hingga 30 Disember.
“Met Malaysia akan terus memantau keadaan cuaca 24 jam sehari, 7 hari seminggu dan akan mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan dan Amaran Ribut Petir bila keadaan perlu.
“Orang awam yang merancang perjalanan ke kawasan-kawasan berkenaan dinasihatkan sentiasa berwaspada dan peka dengan maklumat terkini dan sahih hanya di Met Malaysia,” kata MetMalaysia menerusi Facebook.