Siakap Keli

”Ya, Memang Itu Trak Milik ATM, Siang Malam Redah Banjir” – Hishammuddin

Bencana banjir yang melanda beberapa buah negeri di Semenanjung tanah air baru-baru ini, cukup mendatangkan kesan mendalam kepada rakyat Malaysia.

Banyak pihak tanpa mengira siapa, sama-sama berganding bahu meringankan beban mangsa-mangsa terjejas baik dari segi kewangan, barang keperluan mahupun tenaga. Pelbagai aset kerajaan turut dikerahkan untuk misi bantuan banjir kali ini termasuk daripada barisan pertahanan negara.

Sebuah video menunjukkan sebuah trak milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) meredah banjir untuk menghantar bantuan kepada mangsa yang terkesan, turut menjadi tular di media sosial.

Video yang dimuatnaik di akaun TikTok @ninnna1975 ini telah mendapat perhatian ramai termasuk Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

“Ya, memang itu trak milik ATM. Siang malam redah banjir. Bawa mangsa yang terjejas. Angkut makanan dan barang keperluan. Setiap risiko dihadapi dengan berani dan berhati-hati.

”Ini baru satu kebetulan dirakam orang ramai. Sebenarnya, banyak lagi aset ATM yang melakukan perkara sama di semua kawasan yang dilanda banjir.

”Terima kasih pemilik video, doakan dan hargai pengorbanan anggota ATM. Mereka tak minta dihargai tetapi mereka memang layak dihargai,” tulis Hishammuddin di Facebook rasmi miliknya.

@ninnna1975

♬ original sound – Ninna – Ninna

Sumber: Facebook Hishammuddin Hussein

Eyla Azri