Siakap Keli

Krew Feri Roro Maut Jatuh Laut Ketika Tambat Feri

KANGAR, 3 Jan – Seorang krew feri Roll On-Roll Off (RoRo) maut selepas terjatuh ke dalam laut ketika menambat feri di Terminal Kargo Kuala Perlis hari ini.

Ketua Polis Daerah Kangar Supt Wari Kiew berkata dalam kejadian kira-kira 11.40 pagi, Mohamad Rasidi Baharun, 47, dipercayai tergelincir dari feri yang baru tiba dari Pulau Langkawi, Kedah.

“Mohamad Rasidi yang pengsan selepas kepalanya terkena tiang besi, diselamatkan oleh seorang nelayan yang berada berdekatan tempat kejadian.

“Nelayan berkenaan membawa Mohamad Rasidi ke Jeti Awam Kuala Perlis sebelum dibawa Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar,” katanya yang dihubungi pemberita hari ini.

Wari berkata Mohamad Rasidi disahkan meninggal dunia oleh pihak HTF pada 12.45 tengah hari dan kematiannya diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

— BERNAMA

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang