Baru-baru ini, tular satu klip memaparkan sebuah pelantar minyak diapor tenggelam di perairan laut.
Dlam klip berkenaan, kejadian berlaku ketika waktu malam dengan kelihatan pelantar berkenaan sudah dalam keadudukan senget sebelum ditelan laut.
Lima Masih Hilang, Pelantar Minyak Tenggelam
Sementara itu, pasukan penyelamat mencari lima individu yang hilang selepas kejadian berkenaan.
Dalam satu kenyataan pada Ahad malam, kerajaan memaklumkan lima individu yang hilang itu terdiri daripada tiga warga Gabon, seorang warga India dan seorang warga Croatia.
Pelantar Prospector 5 sedang membuat persiapan untuk memulakan kerja penggerudian luar pesisir Gabon sebelum mengalami kerosakan struktur serius pada petang Sabtu yang menyebabkannya tenggelam, menurut Borr Drilling.
“Ketika kejadian berlaku, terdapat 115 kakitangan di atas pelantar itu,” menurut kenyataan syarikat yang beribu pejabat di Bermuda berkenaan.
“Seramai 110 individu telah dikenal pasti dan disahkan selamat. Lima lagi masih belum ditemui, manakala operasi mencari dan menyelamat berskala besar sedang dijalankan,” tambahnya.
Pihak berkuasa Gabon berkata operasi pencarian masih diteruskan pada Ahad malam, dengan tiga helikopter turut membantu usaha berkenaan.
Peralatan bawah air juga digunakan untuk mencari mangsa di perairan tempat pelantar itu tenggelam.
Sebelum ini, Menteri Minyak Gabon, Clotaire Kondja, berkata dalam satu kenyataan bahawa operasi mencari dan menyelamat itu dibantu oleh tentera laut negara berkenaan.
Menurutnya, pelantar itu “senget sebelum tenggelam ketika operasi prapemuatan, yang dijalankan sebelum kempen penggerudian dirancang bermula”.
“Setakat ini, tiada pelepasan bahan berbahaya dikesan,” katanya.
Kondja berkata siasatan telah dibuka bagi mengenal pasti punca kejadian dan pihak yang bertanggungjawab.
“Kawasan itu dipantau secara berterusan, manakala aset tindak balas pencemaran terus ditempatkan bagi melindungi pesisir pantai dan Taman Negara Mayumba.”
Prospector 5 menyokong kerja penggerudian BW Energy, sebuah syarikat Norway yang menyifatkan dirinya di laman web sebagai “syarikat minyak dan gas bebas dengan operasi serta projek pembangunan di Gabon, Brazil dan Namibia”.
Borr Drilling berkata pihaknya sedang berhubung dengan BW Energy.
“Kami amat bimbang terhadap mereka yang masih belum ditemui serta semua pihak yang terkesan akibat kejadian ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Borr Drilling, Bruno Morand, menurut kenyataan itu.
Presiden Gabon, Brice Clotaire Oligui, berkata menerusi hantaran di media sosial: “Mereka yang bekerja di laut bagi pihak negara kita mesti dapat menjalankan tugas dengan selamat.
“Ini merupakan satu kewajipan yang akan saya pastikan dipatuhi oleh setiap pengendali yang beroperasi dalam wilayah maritim kita.”

