Siakap Keli
Gambar: Utilities Midlle East

Matahari Tiruan China Catat Rekod Baharu Sekali Lagi, Dilapor Beroperasi 5 Kali Lebih Panas Dari Matahari Selama 1,056 Saat

Matahari tiruan China atau dikenali sebagai Experimental Advanced Superconducting Tokamak (EAST) dilaporkan telah mencapai rekod baharu dalam operasi plasma suhu tinggi berterusan iaitu selama 1,056 saat dalam percubaaan terbaharu pada Khamis.

Ia merupakan masa operasi paling lama seumpamanya atau lebih panas dari matahari yang berada di dunia.

Memetik laporan China Daily, kejayaan itu telah diumumkan pada Jumaat oleh seorang penyelidik di Institut Fizik Plasma Akademi Sains China (ASIPP), Gong Xianzu yang bertanggungjawab ke atas eksperimen yang dijalankan di Hefei, ibu kota Wilayah Anhui di timur China itu.

“Kami mencapai suhu plasma 120 juta darjah Celcius selama 101 saat dalam percubaan pada separuh pertama 2021. Kali ini operasi plasma dalam keadaan mantap dikekalkan selama 1,056 saat pada suhu hampir 70 juta darjah Celcius yang meletakkan pepejal asas saintifik dan eksperimen ke arah menjalankan reaktor gabungan,” kata Gong.

Difahamkan, matlamat utama EAST adalah untuk mencipta pelakuran nuklear seperti Matahari dengan menggunakan deuterium yang berlimpah di laut untuk menyediakan aliran tenaga bersih yang stabil.

Berbanding bahan api fosil seperti arang batu, minyak dan gas asli yang berada dalam ‘kepupusan’ dan menimbulkan ancaman kepada alam sekitar, bahan mentah yang diperlukan untuk membuat matahari tiruan hampir tidak terhad di bumi. Disebabkan itu, tenaga gabungan dianggap sebagai ‘tenaga muktamad’ yang ideal untuk masa depan umat manusia.

Sumber: China Daily 

Sofea

There's always another side to every story