Siakap Keli

“Walaupun Kelam Kabut, Nasib Baik Selamat” – Lelaki Kongsi Tindakan Pantas Yang Dia Lakukan Waktu Air Naik

Keadaan hujan yang kadang-kadang lebat, kadang-kadang renyai waktu sekarang ni memang menyebabkan ramai jadi tak tentu pasal dan tak boleh nak jangka tentang cuaca setiap hari. Bukan apa, risau jugak kalau kawasan rumah sendiri naik air bila hujan lama sangat. Walaupun ada kawasan rumah yang selamat, ada juga beberapa kawasan yang sedihnya terpaksa menghadapi banjir dan paras air yang naik dengan tingginya. Dalam keadaan sebegini, ada banyak perkara yang patut ambil perhatian. Yang paling penting, tentulah keselamatan nyawa diri dan ahli keluarga. Selain tu, kalau sempat, selamatkan barang-barang penting, termasuk barang-barang elektrik bagi mengelakkan dari rosak.

Sebab itu, tindakan awal patut diambil supaya jangan nanti dah jadi perkara buruk, baru korang nak menyesal di kemudian hari pulak. Benda macam ni bukan boleh diambil ringan tau sebab memang dah pernah jadi pon sebenarnya. Untuk yang tak tahu, ikuti kisah lelaki ni kalau nak tahu apa boleh buat.

Sewaktu amaran awal dah keluar tentang paras air naik, korang patut ambil tindakan pantas supaya tak jadi teruk.

Perkara ni baru je terjadi kat diri aku dan keluarga aku sendiri. Masih lagi rasa terkejut dan macam tak percaya sebab semuanya berlaku dalam sekelip mata. Nak dijadikan cerita, kawasan rumah aku dan family dapat amaran yang paras air akan naik. Tapi, aku ingatkan takdelah akan jadi teruk sangat sebab sebelum ni pon pernah je hujan lama. Tak sangka pulak yang sampai sekarang hujan lagi dan paras air pon naik makin teruk. Masa air dah mula naik tu, aku teringat beberapa pesanan Suruhanjaya Tenaga (ST) untuk pastikan keselamatan family aku dan kurangkan kesan kerosakan akibat banjir.

Aku lepas tu dengan pantasnya mula ambil tindakan awal sebab aku tak nak nanti ada apa-apa yang tak elok jadi. Walaupun dalam keadaan yang kelam kabut sebab paras air naik dengan laju masa hujan tu, nasib baik aku sempat buat apa yang disarankan untuk pastikan keselamatan family dan rumah aku  sewaktu banjir ni. Untuk yang tak tahu, memang banyak yang perlu korang check dan lakukan untuk keselamatan  korang sendiri. Ini beberapa tindakan awal yang boleh buat.

Pastikan korang pon cuba untuk ikut semua langkah-langkah ni untuk memastikan keselamatan semasa paras air naik dan banjir menjadi lebih teruk. Tak susah pon nak buat semua ni, yang penting semuanya terjaga dan tak jadi lagi teruk.

Tips Keselamatan Sebelum Banjir Mengikut ST

  1. Matikan bekalan masuk utama ke rumah di papan agihan dengan meletakkan suis utama pada kedudukan ‘OFF’.
  2. Pastikan semua suis dalam keadaan ‘OFF’ dan cabutkan palam kuasa daripada soket kuasa semua kelengkapan elektrik. Bolehkan ‘tape’kan semua palam kuasa atau suis rumah agar tidak dimasuki air banjir.
  3. Sekiranya rumah anda dipasang dengan sistem solar PV atau pagar elektrik, matikan sistem tersebut sebelum anda keluar rumah.
  4. Simpan kelengkapan elektrik di tempat yang tinggi dan selamat daripada ditenggelami atau terkena air banjir.
  5. Pastikan menyimpan nombor telefon pejabat kecemasan seperti nombor balai polis, bomba, hospital dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang berdekatan, dan pastikan nombor tersebut mudah diakses semasa kecemasan.

Tips Keselamatan Semasa Banjir Mengikut ST

  1. Elakkan daripada melalui kawasan yang ada talian elektrik, kerana paras air yang tinggi akan menyebabkan talian tersebut mudah disentuh, terutamanya pada waktu malam kerana ketika itu penglihatan tidak begitu jelas.
  2. Jauhkan diri daripada lokasi yang terdapat talian elektrik jatuh atau putus, bagi mengelak daripada renjatan elektrik akibat talian yang masih berarus elektrik.
  3. Jangan pegang tiang elektrik/tiang lampu/lampu isyarat atau dawai umbang tiang semasa banjir atau hujan kerana kemungkinan terdapat arus bocor.
  4. Dilarang menggunakan tiang elektrik dan dawai umbang tiang sebagai tiang ampaian.
  5. Apabila berada di luar rumah, jangan hampiri pepasangan elektrik seperti pencawang atau bilik suis elektrik yang ditenggelami air, mengalih atau membaiki tiang elektrik tumbang atau talian elektrik putus atau jatuh ke tanah dan segera lapor kepada pihak pemegang lesen/utiliti.
  6. Jangan pegang tiang besi ‘porch’ rumah/khemah kerana dikhuatiri ada kebocoran arus.

Tips Keselamatan Selepas Banjir Mengikut ST

  1. Berhati-hati apabila berada di kawasan banjir kerana kelengkapan elektrik dan pepasangan elektrik yang ditenggelami air berpotensi mendatangkan bahaya. Ia boleh mengalirkan arus elektrik di kawasan persekitarannya dan boleh menyebabkan kehilangan nyawa.
  2. Pastikan suis utama di papan agihan berada pada kedudukan ‘OFF’ sebelum membersihkan peralatan elektrik atau pendawaian rumah, untuk mengelakkan renjatan apabila pihak utiliti menyambung semula bekalan.
  3. Jangan menyentuh atau memotong atau menarik dahan pokok yang jatuh menimpa talian elektrik. Ianya mungkin masih bertenaga dan boleh mengakibatkan renjatan.
  4. Jangan gunakan kelengkapan elektrik yang terendam di dalam air dan pastikan semuanya diperiksa, dicuci dari lumpur serta dikeringkan bukan saja di bahagian luar tetapi juga di bahagian dalamnya sebelum menggunakannya. Elakkan menggunakan kelengkapan elektrik yang diragui keselamatannya.
  5. Sebelum ‘ON’ suis utama, periksa semua pendawaian rumah dan kelengkapan elektrik yang terdapat di dalam rumah. Pemeriksaan ini hendaklah dilakukan oleh kontraktor elektrik yang berdaftar dengan ST.
  6. Jangan biarkan anak-anak bermain dalam kawasan pencawang elektrik yang telah ditenggelami banjir atau berhampiran dengan tiang elektrik yang tumbang atau di sekitar talian elektrik yang kendur atau jatuh di tanah.

Nor Fakhry