Siakap Keli
Gambar via Bernama

Jangan Sentuh Obor-Obor Beracun Di Pantai Kelulut Dan Pantai Pulau Kerengga, Terengganu

KUALA TERENGGANU, 9 Jan (Bernama) — Pengunjung Pantai Kelulut dan Pantai Pulau Kerengga di Marang dekat sini, dinasihatkan supaya lebih berhati-hati berikutan penemuan obor-obor beracun yang dikenali sebagai Portuguese Man o’ War atau nama saintifiknya ‘physalia physalis‘, petang semalam.

Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu Ruzaidi Mamat berkata tinjauan kakitangan jabatan di dua lokasi pantai tersebut pagi ini menemukan empat ekor obor-obor berkenaan.

“Mungkin masih ada obor-obor di pesisir pantai dan pemantauan sedang dijalankan. Pengunjung dinasihatkan agar segera melaporkan kepada jabatan sekiranya menemui obor-obor itu.

“Walaupun obor-obor yang ditemui sudah mati, orang ramai dinasihatkan agar tidak menyentuh bangkainya kerana ia masih beracun dan sangat berbahaya. Jika terkena sengatan, segera ke klinik atau hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Fasa musim monsun Timur Laut yang berlaku ketika ini menjadi antara faktor obor-obor berkenaan terdampar di perairan Pantai Timur dan kali terakhir spesies hidupan beracun itu dilihat di perairan Terengganu ialah pada Februari 2020.

Ruzaidi berkata kajian sebelum ini pernah merekodkan penemuan lebih 1,000 obor-obor spesies berkenaan yang terapung di perairan Lautan Hindi dan ia bergerak sama ada hanyut dibawa arus atau angin.

“Untuk mengelakkan ancaman di permukaan, ia boleh mengempiskan beg udara dan tenggelam buat seketika. Purata panjang sulur sesungut spesies ini boleh mencapai lebih 30 kaki panjang dan diliputi oleh ‘nematocyst’ yang dipenuhi racun yang digunakan untuk melumpuhkan dan membunuh ikan serta makhluk kecil lain.

“Jika terkena manusia, sengatannya adalah sangat menyakitkan, namun kes yang membawa maut sangat jarang berlaku tetapi tetap perlu berhati-hati. Obor-obor yang sudah mati dan dihanyutkan ke pantai juga boleh menyebabkan sengatan jika menyentuhnya,” katanya.

Sumber: Bernama

" "