Siakap Keli

Enam Lelaki Direman Disyaki Terima Bayaran Bekalkan Sijil Vaksinasi Covid -19

KUALA TERENGGANU, 13 Jan – Enam lelaki direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan menerima bayaran untuk membekalkan sijil vaksinasi COVID-19 tanpa suntikan sebenar di negeri ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu Supt M Zambri Mahmud berkata kesemua mereka yang berusia 35 hingga 57 tahun itu ditahan malam tadi dan direman hingga Sabtu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda di Mahkamah Majistret Marang hari ini selepas mendapat permohonan daripada pihak polis.

M Zambri berkata kesemua lelaki itu dikatakan menerima bayaran untuk membekalkan sijil vaksinasi COVID-19 tanpa perlu melakukan suntikan sebenar dengan kadar bayaran tertentu, namun gagal menyediakan sijil berkenaan untuk pelanggan mereka sehingga kini.

“Polis menerima laporan (daripada pelanggan) bahawa bayaran telah dibuat oleh mereka untuk membeli sijil itu, tetapi suspek dikatakan tidak memberikan sijil itu kepada mereka,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata polis percaya kes berkenaan mempunyai kaitan dengan penahanan seorang doktor lelaki Sabtu lepas, yang disyaki menjual sijil vaksinasi COVID-19 tanpa suntikan sebenar di sebuah klinik swasta di Marang.

Siasatan awal polis mendapati seramai 1,900 individu berurusan dengan klinik itu untuk tujuan vaksinasi, namun daripada jumlah itu polis masih menyiasat jumlah sebenar individu yang mendapat sijil vaksinasi tanpa suntikan, dengan bayaran antara RM400 hingga RM600.

Katanya reman terhadap doktor berkenaan berakhir hari ini dan dia dilepaskan sementara menunggu tindakan selanjutnya oleh pihak pendakwa raya.

Sumber: BERNAMA

" "