Semalam, Jepun dilaporkan telah diancam dengan bencana tsunami akibat daripada letusan gunung berapi dasar laut di negara Tonga. Tsunami setinggi 1. 2 meter telah direkodkan di bandar Amami dan tsunami 1.1 meter pula berlaku di Wilayah Iwate.
Sebelum itu kerajaan Jepun telah mengeluarkan amaran tsunami setinggi 3 meter yang diramal bakal melanda beberapa pulau di barat daya Jepun.
Pernah dilanda tsunami yang lebih teruk sebelum ini, Jepun sentiasa bersedia untuk menghadapi bencana itu dengan mencipta pelbagai teknologi bagi memastikan penduduk selamat.
Menerusi perkongsian Zunita Ramli di Facebook, Jepun telah membina satu sistem pengesanan gempa yang paling canggih di dunia iaitu Dense Oceanfloor Network System for Earthquakes and Tsunamis (DONET).
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai sistem tersebut, ikuti perkongsiannya di bawah ini.
Jepun adalah negara yang kerap alami bencana alam. Berada di atas pertembungan 4 plat tektonik bumi yang sentiasa bergerak, Jepun terima lebih kurang 1500 gempa bumi setiap tahun.
Tapi apa yang melanda pada March 2011 adalah sesuatu yang luar biasa.
Gempa bumi bermagnitud 9.0 membawa tsunami setinggi 15 meter menghempas pesisir pantai Jepun sejauh 500km jaraknya, dari pesisir pantai Iwate hingga ke Ibaraki. Berikutan itu lebih kurang 18,000 orang mati sekelip mata yang kebanyakannya dibawa arus tsunami.
Menambahburuk keadaan, bencana dasyat ni juga menyebabkan 3 dari 6 reaktor nuklear Fukushima Daiichi Nuclear Plant mengalami “nuclear meltdown” yang menyebabkan radiasi terbebas ke udara. Perdana Menteri Jepun masa tu, Naoto Kan akui yang dia consider nak evacuate 50 juta penduduk Tokyo (greater Tokyo) ke luar.
Gila.
Nak evacuate 50 juta orang dalam masa sehari.
Tapi apa yang lebih menarik perhatian saya adalah, tindakan mereka lepas bencana ni berlaku.
Sejurus lepas bencana dasyat ni berlaku, saintis Jepun melalui JAMSTEC (Japan Agency for Marine-Earth-Science and Technology) terus hantar kapal kajian ke pusat gegaran (epicentre) iaitu di Japan Trench untuk buat kajian. Tak ada tunggu-tunggu dah.
Mereka nak kaji & fahamkan apa yang berlaku, macam mana gempa bumi paling dasyat dalam sejarah Jepun ni boleh berlaku.
Hasil kajian mendapati, plat tektonik bumi bergerak sebanyak 50 meter waktu kejadian March 2011. Sebagai perbandingan, Gempa Bumi Great Hanshin bermagnitud 7.9 yang berlaku pada 1995 di mana mengorbankan 6,000 penduduk, plat tektonik bergerak sebanyak 2 meter sahaja.
2 meter dengan 50 meter.
Sangat jauh beza. Tak hairanlah kemusnahan dia pun memang sangat jauh beza.
Sebabkan Jepun ni memang kerap berlaku gempa, mereka bina satu sistem pengesanan gempa yang paling canggih di dunia, iaitu DONET (Dense Oceanfloor Network System for Earthquakes and Tsunamis). Dengan DONET ni, Jepun bina rangkaian sensor dekat dasar laut berdekatan Nankai Trough untuk kesan sebarang pergerakan plat bumi. Kenapa Nankai Trough? Sebab kawasan ni memang ”hot spot” gempa.
Sensor ni tadi disambung terus (real time) ke monitoring stations, agensi kerajaan dan badan-badan swasta yang terlibat macam monitoring system keretapi JR. Sensor guna submarine cable dekat dasar laut oihh. Real time pulak tu.
Kenapa Jepun susah payah belanja berjuta ringgit untuk bina teknologi kompleks macam ni?
Tak lain tak bukan, untuk beri amaran awal — seawal 10-15 minit berbanding sistem amaran di pantai. 10-15 minit pada waktu kecemasan sangat bernilai, nilai yang mungkin boleh selamatkan beribu-ribu nyawa.
Benar.. Bencana alam, bila-bila masa boleh berlaku. Tapi apa tindakan kita selepas tu? Berserah? Tunding jari sana-sini? Atau bangunkan teknologi untuk pelan mitigasi?
Saya teringat kata-kata ini,
“Usaha, doa dan tawakkal itu senadi, jika salah satu diletak tepi, jangan dipersonal mengapa realiti tak seperti ekspektasi”
Sumber: Zunita Ramli