Siakap Keli
Gambar hiasan via Bernama

JAIS Keluarkan Ketetapan Baharu Solat Jumaat

SHAH ALAM, 18 Jan (Bernama) — Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) membenarkan penggunaan sepenuhnya ruang solat utama dan ruang limpah di semua masjid dan surau, yang mendapat kebenaran Solat Jumaat di negeri ini bagi menunaikan solat fardu Jumaat berikutan perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Pengarahnya Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata Sultan Selangor turut berkenan bagi jarak antara satu jemaah dengan jemaah yang lain ditetapkan dengan jarak 1.0 meter.

“Berikutan perkenan terkini Sultan Selangor, satu surat ketetapan mengenainya akan dikeluarkan dan diedarkan oleh jabatan ini kepada kesemua masjid dan surau terlibat dalam tempoh terdekat, untuk dilaksanakan pada hari Jumaat bertarikh 21 Jan 2022,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata ketetapan baharu itu akan memberi kesan peningkatan kapasiti bilangan jemaah Solat Fardu Jumaat di seluruh Selangor sehingga 35 peratus, tertakluk kepada keluasan fizikal masjid dan surau, berbanding jumlah bilangan jemaah Solat Fardu Jumaat dibenarkan melalui ketetapan terakhir jabatan itu pada 1 Nov 2021.

“Sebanyak 427 buah masjid dan 316 surau yang mendapat kebenaran Solat Jumaat akan terlibat dengan ketetapan terbaru ini. Ketetapan baharu ini masih menetapkan bagi pihak pentadbir masjid dan surau untuk menguatkuasakan prosedur operasi standard yang ditetapkan kepada para jemaah,” katanya.

Mohd Shahzihan berkata JAIS berharap agar ketetapan baharu ini, akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh umat Islam khususnya golongan muda untuk berusaha mendapat tempat bagi menunaikan kefarduan mengerjakan Solat Fardu Jumaat.

“Sayugia diingatkan bahawasanya hanya individu yang telah berusaha mendapatkan tempat bagi mendirikan Solat Fardu Jumaat, lalu tidak berjaya, akan diangkat kefarduan jumaatnya selaras dengan pandangan Jabatan Mufti Negeri Selangor mengenainya bertarikh 13 Jun 2020 dan 22 Julai 2020 yang masih dikekalkan sehingga kini,” katanya.

— BERNAMA

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'