Siakap Keli
Gambar: LK Savantharaja

Lelaki Jadi Hero, Bantu Wanita Lahirkan Bayi Dalam Kereta Di Depan Kuil Pagi Tadi

Seorang wanita telah selamat melahirkan bayi perempuannya di dalam kereta yang ketika itu berada tidak jauh dari Kuil Sri Subramaniar, Batu Caves kira-kira pukul 7.24 pagi tadi.

Menariknya, proses kelahiran ‘tidak dijangka’ tersebut dibantu oleh ‘hero-hero’ tidak didendang, kebanyakannya merupakan individu awam yang sedang menyambut perayaan Thaipusam di kuil berkenaan.

Salah seorangnya, LK Savantharaja merupakan antara watak utama dalam misi kelahiran tersebut. Beliau berkongsi detik-detik cemas itu di laman Facebooknya pagi tadi.

“Tadi saya dan beberapa penganut lain yang datang ke Kuil Sri Subramaniyar, Batu Caves ternampak seorang wanita meminta tolong dari arah salah sebuah kereta di luar kuil. Terus kami berkejar ke sana.

“(Tiba-tiba) saya ternampak seorang wanita mahu melahirkan bayi di dalam keretanya. Serta-merta saya dan beberapa wanita lain tutup cermin pintu dengan kain (vesthi) yang diberikan oleh saudara kita yang berjalan ke kuil bersama Paal Kudam untuk memenuhi nazar mereka.

“Semasa bayi itu keluar (selamat dilahirkan), saya menyebut beberapa kali ‘Kakak, awak dan anak awak sangat dirahmati..’,” katanya di Facebook hari ini.

Difahamkan, Savantharaja turut berasa gembira dengan kelahiran bayi perempuan berkenaan.

“Saya sangat gembira sebab berjaya dapatkan pisau dan berikan kepadanya untuk memotong tali pusat bayi tersebut. Setiap orang yang datang menghulur bantuan turut mendoakan wanita dan bayinya itu.

“Ambulans tiba di situ tidak lama kemudian selepas bayi selamat dilahirkan. Sebelum mereka ke hospital, saya sempat berswafoto dengan ayah bayi berkenaan (untuk kenangan)..” tambahnya lagi.

Perkongsian detik manis kelahiran di pagi Thaipusam ini mendapat perhatian segenap netizen. Rata-rata mereka berasa kagum dan berbangga atas keharmonian dan kasih sayang yang ditonjolkan Savantharaja serta orang awam yang lain.

Sumber: FB LK Savantharaja

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'