Kira-kira 8,500 tentera Amerika Syarikat berada dalam keadaan berjaga-jaga untuk digerakkan dalam masa yang singkat ketika ketegangan yang semakin memuncak di Ukraine pada ketika ini.
Memetik laporan BBC, langkah itu dilakukan kerana Rusia didakwa telah mengumpulkan 100,000 tentera berdekatan Ukraine.
Walaupun negara itu menafikan tindakan ketenteraan tersebut namun ramai pihak yang bimbang mengenai pergolakan yang bakal berlaku.
Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden juga telah mengadakan panggilan video dengan sekutu Eropah pada Isnin dan dalam masa yang sama sedang menyasarkan strategi bersama untuk menentang pencerobohan Rusia.
Bagaimanapun, Pentagon berkata belum ada keputusan dibuat sama ada untuk mengerahkan tentera.
Menurut setiausaha akhbar Pentagon, John Kirby, ia hanya akan berlaku jika pakatan tentera NATO memutuskan untuk mengaktifkan pasukan tidak balas pantas atau jika situasi lain berlaku ketika Rusia membentuk ketenteraannya.

Sementara itu, beberapa anggota NATO termasuk Denmark, Sepanyol, Perancis dan Belanda sudah merancang atau mempertimbangkan untuk menghantar jet pejuang serta kapal perang ke Eropah timur untuk memperkuatkan pertahanan di rantau itu.
Sekiranya pencerobohan Rusia di Ukraine berlaku, para pemimpian bersetuju untuk menggubal tindak balas yang pantas termasuk pakej sekatan yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
Terdahulu, Perdana Menteri Britain, Boris Johnson telah memberi amaran bahawa risikan yang dilakukan mendapati Rusia merancang untuk melakukan ‘serbuan kilat’ ke atas ibu negara Ukraine, Kyiv.
“Hasil risikan itu, jelas bahawa terdapat 60 kumpulan pertempuran Rusia di sempadan Ukraine, ia rancangan ‘perang kilat’ yang boleh memusnahkan Kyiv,” katanya.
Dalam pada itu, Ukraine juga telah memberi amaran bahawa Rusia sedang cuba menggugat kestabilan negara itu sebelum pencerobohan tentera yang dirancang pada ketika ini, lapor CNN.
Pada penghujung 2021, gambar satelit mendedahkan perkakasan milik Rusia termasuk meriam, kereta kebal tempur dan kenderaan tempur infantri yang sedang bergerak di padang latihan kira-kira 300km dari sempadan Ukraine.

Penilaian perisikan terkini Kementerian Pertahanan Ukraine mengatakan Rusia kini telah mengerahkan lebih 127,000 tentera berhampiran Ukraine termasuk kira-kira 21,000 anggota udara dan laut.
Mereka juga dipercayai telah memindahkan lebih banyak peluru berpandu ke sempadan dan meningkatkan aktiviti perisikan terhadap Ukraine.