Siakap Keli
Gambar: Mirror

Kereta Terbang Lulus Ujian Keselamatan, Bakal Jadi ‘Perkara Biasa’ Mulai Tahun Depan

Masa kecik-kecik dulu, mesti korang pun pernah berangan suatu hari nanti dunia akan tersangatlah maju sampai ada kereta terbang kan?

Manakan tidak, model kereta terbang sangat ikonik dengan teknologi canggih pada masa depan. Malah ilustrasi kereta terbang ni juga turut dipaparkan dalam buku teks zaman kita sekolah rendah dulu.

Kalau dulu, mungkin ramai yang anggap kereta terbang hanya sebuah imaginasi, tapi kini tidak lagi. Sebuah syarikat automobil dari Slovakia telah pun mencipta kenderaan empat roda yang boleh bertukar kepada pesawat dalam masa dua minit.

Gambar: Mirror

Menurut laporan Mirror, model kereta terbang ini telah pun lulus ujian keselamatan serta menerima sijil rasmi kelayakan udara dari Kementerian Pengangkutan Slovakia.

Kereta terbang yang dikenali sebagai AirCar ini juga secara tidak langsung mendapat kebenaran untuk terbang di ruang udara Eropah.

Kereta terbang dengan dua tempat duduk ini menggunakan kuasa enjin BMW dan dikatakan boleh mencapai ketinggian 8,000 kaki dengan kelajuan kira-kira 160 kilometer sejam.

Menurut pencipta dan juruterbang penguji, Profesor Stefan Klein, kelulusan model AirCar ini telah membuka ruang kepada pengeluaran kereta terbang yang sangat efisyen secara besar-besaran.

“Ia sudah rasmi dan mengesahkan kebolehan kami dalam mengubah kebiasaan perjalanan jarak sederhana buat selama-lamanya,” ujar Klein memetik laporan Mirror.

Gambar: Mirror

Syarikat pengeluar AirCar, Klein Vision dikatakan telah merancang untuk melakukan trip secara kerap dari Paris ke London melalui jalan darat dan udara.

Sementara itu, pemilik bersama projek tersebut, Anton Zajac menyifatkan AirCar sebagai medium yang telah memperluas sempadan hingga ke ‘dimensi’ lain.

“AirCar telah meluaskan sempadan dengan membawa kita ke dimensi lain, di mana jalan darat bertemu langit. Kami juga ada perancangan untuk terbang dari Paris ke London dalam masa terdekat,” jelas Zajac.

AirCar direka khas oleh lapan orang pakar yang mengambil masa lebih 100 ribu jam untuk merealisasikan reka bentuk kereta terbang ini.

Kereta terbang berkenaan telah melengkapkan 70 jam ujian penerbangan dengan 200 pelepasan dan pendaratan dengan kebenaran autoriti setempat, lapor Mirror.

Setakat ini, harga untuk model kereta terbang berkenaan masih belum diketahui. Pun begitu, AirCar dikatakan bakal melalui proses pembuatan dan dijangka akan dilancarkan dalam tempoh setahun akan datang.

Sumber: Mirror

Eyla Azri