Siakap Keli
Gambar Hiasan: via Detik.com

Saja-saja ‘Test’ Jadi Penghantar Makanan, Lelaki Berjaya Kumpul RM83,000 Selama 3 Bulan

Walaupun sering dilihat hanya bekerja sebagai penghantar makanan, namun bagi mereka yang mempunyai pekerjaan seperti ini ia adalah satu batu loncatan untuk mereka memperolehi rezeki.

Begitu juga dengan seorang lelaki ini yang dilaporkan sanggup menjadi seorang penghantar makanan kerana memiliki rasa ingin tahu yang tinggi mengenai pekerjaan ini, lapor Detik.com.

Gara-gara tertarik dengan bebanan kerja seorang penghantar makanan, seorang lelaki bernama Owen Lindstorm memutuskan untuk mencuba pekerjaan yang mencabar itu. Apa yang menariknya dia hanya mengambil masa 100 hari sahaja untuk mencapai misinya itu.

Walaupun hanya percubaan, Lindstorm telah menjalankan tugasnya dengan begitu serius dan dia mendakwa terdapat banyak pengajaran yang dipelajari sepanjang 100 hari bekerja sebagai seorang penghantar makanan.

Difahamkan, bukan hanya satu syarikat penghantaran makanan sahaja yang dia berkhidmat, malah dia dilapor turut bekerja untuk dua syarikat sekali gus.

Menurutnya, dia melakukan pekerjaan itu bukanlah semata-mata untuk mengaut keuntungan atau mencari rezeki, tetapi untuk mengetahui bagaimana rasanya bekerja sebagai seorang penghantar makanan.

Julat tempahan berbeza mengikut populasi

Menurut Lindstorm, tempahan yang diterima di kawasan populasi yang tinggi adalah lebih menguntungkan jika dibandingkan dengan kawasan jeti atau pinggir bandar yang keuntungannya adalah sedikit.

“Menjadi seorang penghantar makanan perlulah mesra dan berbudi bahasa terhadap mana-mana pekerja restoran yang menyediakan makanan untuk dihantar,” kata Lindstorm, memetik Detik.

Malah, dia juga dikatakan selalu meluangkan masa untuk berbual-bual dengan pekerja sementara menunggu pesanannya disediakan. Lindstorm sedar bahawa kedua-dua belah pihak mempunyai kedudukan yang sama penting.

Sepanjang dia bekerja sebagai seorang penghantar makanan, perkara paling sukar adalah menunggu. Baginya, menunggu pesanan siap memang sangat membosankan lebih-lebih lagi buat mereka yang jenis ingin cepat dapatkan duit.

Difahamkan, Lindstorm telah menghabiskan masa sehingga hampir 12 jam sehari untuk menjalankan tugasnya. Jumlah pendapatan yang berjaya dihasilkan selama 100 hari bekerja adalah sebanyak $20,012 (RM83,610).

Tetapi menurutnya, jumlah pendapatan ini tidaklah ‘bersih’ kerana ia belum lagi ditolak dengan kos perbelanjaan yang lain sepanjang 100 hari tersebut.

Disebabkan dia sudah mempunyai pengalaman menjadi penghantar makanan dan memperoleh jumlah pendapatan yang begitu banyak, dia kini mempunyai matlamat untuk menghasilkan wang sehingga $25,000 (RM104,450).

Sumber: Detik.com

Nadhirah