Siakap Keli

(LIVE) Empat Hari Terperangkap Dalam Perigi, Misi Selamatkan Rayan Trending Di Sosmed

Seorang kanak-kanak lelaki dari kota Tamarot, Maghribi dilaporkan terperangkap di dalam perigi sedalam 104 kaki (kira-kira 32 meter) sejak Selasa lalu dan masih berada di dalam perigi berkenaan.

Menurut laporan BBC, kanak-kanak yang dikenali sebagai Rayan ini terjatuh ke dalam perigi tersebut ketika bermain di kawasan sekitar empat hari lalu dan setakat ini belum berjaya dikeluarkan.

Pun begitu, Rayan dikatakan berada dalam keadaan selamat. Pasukan penyelamat telah menyalurkan makanan dan alat bantuan pernafasan kepada kanak-kanak tersebut.

Sehingga kini, misi untuk menyelamatkan Rayan masih diteruskan dan hanya perlu menggali beberapa meter sahaja lagi ke tempat keberadaan Rayan. Pasukan penyelamat dikatakan hampir berjaya menyelamatkan kanak-kanak itu namun berdepan risiko tanah longsor di perigi berkenaan.

Memetik laporan terkini dari Arab News, pihak penyelamat dilaporkan telah membuat perancangan akhir untuk menggali perigi tersebut secara melintang dan menyediakan beberapa paip konkrit untuk memperdalam terowong menuju ke tempat Rayan terperangkap.

Sementara itu di media sosial, warganet di seluruh dunia tak putus-putus mendoakan keselamatan Rayan. Tanda pagar #SaveRayan juga trending bermula di negara-negara Timur Tengah dan kini turut tular di Malaysia.

Berita lanjut menyusul.

Tonton rakaman langsung misi menyelamatkan Rayan di sini:

Sumber: BBC, Arab News

Eyla Azri