Siakap Keli
Gambar: Sidang Media KKM

”Jangan Hanya Tengok Bilangan Kes, Tengok 20 Ribu Terus Kata ‘Lockdown’ – Khairy

Seperti yang kita tahu, kes positif COVID-19 yang direkodkan di Malaysia hari ini sekali lagi mencecah angka 20 ribu kes, di mana kali terakhir negara mencatatkan angka berkenaan adalah pada 11 Ogos 2021.

Menurut Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin dalam sesi sidang media Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebentar tadi, bilangan kes bukanlah satu-satunya faktor yang patut dilihat dalam peningkatan kes.

“Hari ini, walaupun kita 20,939 kes (hari ini), yang berada di ICU (unit rawatan rapi) 158 (pesakit), kes kematian semalam 10.

“Buat perbandingan dengan 11 Ogos 2021, kali terakhir kita cecah 20 ribu, kes di ICU 1,547, berbanding 158 hari ini dan kes kematian pada hari tersebut 332.

“Jadi kita kena tengok bahawa keadaan hari ini berbeza dengan keadaan pada tahun lepas.

“Ya, kita menjangkakan akan ada peningkatan kemasukan (pesakit) ke hospital, tetapi kita percaya pada liputan vaksinasi, kesan gejala itu tidaklah seteruk kes-kes pada tahun lepas.

“Kadar kematian tidaklah menjadi terlalu tinggi dan tempoh rawatan mereka (pesakit) lebih singkat daripada dulu,” jelas Khairy dalam sidang media hari ini.

Menurut beliau, pihak KKM akan terus memantau dan memberi butiran tentang penularan COVID-19 setiap hari.

“Jadi saya merayu, jangan kita hanya tengok pada bilangan kes, sebab bila tengok 20 ribu kata terus lockdown.

“Kita kena tengok keseriusan kes. Sekarang ni 99.5 peratus kes adalah kategori satu dan dua.

“Kurang lebih 0.5 peratus adalah kategori tiga, empat dan lima, itu pun kita dapat rawat dengan lebih baik dan berkesan,” tambah Khairy.

Sumber: Sidang Media KKM

Eyla Azri