Siakap Keli
Kredit: Maxar via Vishnu Som

Semakin Tegang, Putin Arah Tambah Tentera Siap Siaga Di Sempadan

Presiden Russia, Vladmir Putin dilapor telah mengarah untuk menambahkan lagi jumlah tentera Russia di sempadan Ukraine buat masa ini, lapor Aljazeera.

Menurut Aljazeera, makluman baharu tersebut dimaklumkan jurucakap Pentagon, John Kirby dalam satu kenyataan baru-baru ini.

“Pasukan tentera ini perlu terus berkembang lebih kuat dan terus bersedia. Mereka kerap melakukan latihan, kami percaya mereka kuat dan bersedia sekiranya diperlukan nanti.

“Di saat genting ini, mereka perlu sentiasa bersedia untuk beraksi pada bila-bila masa sahaja,” katanya, memetik laporan terkini Aljazeera kira-kira dua jam lepas.

Sementara itu, beberapa foto dari satelit yang merakam suasana aset-aset tentera Russia yang dipercayai bersiap-siaga tular di media sosial.

Foto-foto tersebut kembali dikongsikan di laman Twitter eksekutif editor NDTV, Vishnu Som sebentar tadi.

“Imej terkini dari satelit, baru sebentar tadi menunjukkan sejauh mana kemaraan Russia di lapangan, tetapi sama ada akan berlaku pencerobohan ke atas Ukraine ataupun tidak, ia adalah tekaan sesiapa sahaja. Usaha diplomatik belum berakhir,” tulisnya.

Jelas Vishnu, antara aset yang dikesan ialah pesawat Su-34 di Pangkalan Udara Primorsko, Krasnodar, helikopter di Tasik Donuzlav, Crimea serta pasukan Battle dari Yelnya.

Terdahulu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky telah memberi amaran bahawa akan berlaku peperangan antara negaranya dengan Russia yang dilapor bakal tercetus pada Rabu ini.

Sumber: Al-Jazeera

Faiz Mustafa