Siakap Keli
Gambar: Independent & Mirror

Misteri Kanak-Kanak Hilang Dua Tahun Terungkai, Ditemui Selamat Bawah Tangga

Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun yang telah dilaporkan hilang sejak dua tahun lalu akhirnya ditemukan selamat setelah disembunyikan di sebuah bilik rahsia yang terletak di bawah tangga.

Menurut Mirror, kanak-kanak berkenaan ‘diculik’ oleh ibu bapanya ketika dia berumur empat tahun, selepas mereka kehilangan hak penjagaan terhadap anak mereka sendiri.

Kanak-kanak itu dilaporkan hilang dari rumah penjaga sahnya di Cayuga Heights, New York, sementara kedua ibu bapanya menyembunyikan kanak-kanak tersebut dari pihak polis.

Semasa kejadian itu berlaku, pasukan penyiasat telah pun mengesyaki ibu bapa kandungnya, yang masing-masing berusia 33 dan 32 tahun.

Isnin lalu, pihak polis daerah Saugerties mendapat petunjuk bahawa kanak-kanak itu ada bersama kedua ibu bapanya.

Pihak berwajib bertindak menggeledah sebuah kediaman yang terletak di Fawn Road dan menyoal siasat beberapa penduduk setempat, termasuk bapa dan datuk kanak-kanak berkenaan.

Namun begitu, datuk kepada kanak-kanak itu mengaku kepada pihak polis bahawa dia tidak tahu menahu akan keberadaan cucu perempuannya itu.

Berdasarkan hasil siasatan yang dikeluarkan oleh Detektif Erik Thiele, pihak polis menemui sesuatu yang mencurigakan apabila melihat tangga di belakang rumah yang menuju ke ruang bawah tanah.

“Ada sesuatu tentang tangga yang mengarah dari belakang rumah ke ruang bawah tanah yang menarik perhatiannya,” ujar Thiele dalam sebuah kenyataan semalam, memetik laporan Mirror.

Setelah lampu disuluh ke arah tangga, pihak polis melihat sepasang kaki kecil dan mereka bertindak mengalihkan beberapa anak tangga. Ketika itu, mereka mendapati kanak-kanak perempuan tersebut sedang bersembunyi bersama ibunya.

Gambar: Mirror

Menurut kenyataan polis, kanak-kanak itu ditemukan di dalam ‘bilik rahsia’ yang terletak di bawah tangga menuju ke ruangan bawah tanah rumah berkenaan.

“Kanak-kanak itu telah disembunyikan di dalam ruangan sementara, di bawah tangga yang tertutup menuju ke ruang bawah tanah kediaman itu.

“Setelah menanggalkan beberapa anak tangga, kanak-kanak itu bersama ‘penculiknya’ ditemukan bersembunyi di dalam ruang tersebut dalam keadaan gelap dan basah,” jelas pihak polis Saugerties memetik laporan Mirror.

Kanak-kanak berkenaan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Saugerties untuk pemeriksaan kesihatan sebelum dikembalikan kepada penjaga sahnya.

Memetik laporan Mirror, kesemua suspek iaitu ibu, bapa dan datuk kepada kanak-kanak tersebut ditangkap dan didakwa atas kesalahan campur tangan terhadap hak jagaan sah dan mengabaikan kebajikan kanak-kanak.

Sumber: Mirror

Eyla Azri