Siakap Keli
nelayan temui mayat
Gambar hiasan

Wanita Maut Putus Leher Ditetak Anak Tiri

GUA MUSANG, 16 Feb (Bernama) — Seorang wanita maut selepas lehernya ditetak hingga putus oleh anak tirinya di rumahnya di Kampung Batu Machang dekat Jerek, di sini, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata suspek iaitu seorang lelaki berusia 39 tahun kemudian hadir ke Balai Polis Bertam di sini pada 4.45 petang dengan memaklumkan telah membunuh ibu tirinya berusia 54 tahun menggunakan parang.

Beliau berkata kejadian dipercayai berlaku sekitar 4 petang dan siasatan awal mendapati suspek merupakan seorang penagih dadah dan mengalami masalah mental.

“Ketika kejadian hanya suspek dan mangsa berada di rumah tersebut.

“Siasatan polis di tempat kejadian berjaya menemukan senjata yang dipercayai digunakan iaitu sebilah parang. Siasatan mendapati mangsa maut selepas lehernya putus akibat tetakan tersebut dan siasatan lanjut mengenainya sedang dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan.

Sik berkata mayat wanita itu dihantar ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat.

“Suspek juga mempunyai rekod kesalahan lampau mengikut Seksyen 379A dan Seksyen 451 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sumber: Bernama

Eyla Azri