Bukan mudah nak dapatkan kerja sekarang ni. Ada orang dah hantar resume ke berpuluh-puluh tempat, tapi satu pun tak dapat. Jangan kecewa. Kami ada berita baik untuk anda.
Pada 19 Februari ini, Kementerian Kewangan akan melancarkan Inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia 2022. Inisiatif ni khas untuk mewujudkan 600,000 peluang kerja untuk orang ramai, melibatkan peruntukan bajet sebanyak RM4.8 bilion.
Pada 2021, hampir 560 ribu peluang pekerjaan telah diwujudkan dengan kadar pengangguran 4.2 peratus. Tahun ini, JaminKerja menyasarkan 600 ribu peluang kerjaya dan menurunkan kadar pengangguran kepada kurang 4 peratus.
Program ini bagi membantu orang ramai mendapatkan pekerjaan di samping menyokong majikan untuk mewujudkan peluang pekerjaan.
Jom kami kongsikan info menarik berkenaan JaminKerja ni.
MySTEP
Program Short-Term Employment Program (MySTEP) adalah inisiatif kerajaan untuk menawarkan 80,000 peluang pekerjaan secara kontrak kepada rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas.
Daripada jumlah itu, sebanyak 50,000 peluang adalah melibatkan sektor awam manakala 30,000 lagi melibatkan syarikat GLC dan rakan-rakan strategik.
Malah, sebanyak satu peratus kuota turut disediakan kepada golongan OKU.
Tempoh kontrak ini adalah satu bulan minimum dan maksimum 12 bulan, tidak melebihi 30 Jun 2023.
Cara permohonan
Tempoh permohonan: 1 Januari 2022 – 31 Disember 2022
Dokumen yang diperlukan:
- CV atau Resume
- Sijil Digital Vaksinasi COVID-19
Untuk maklumat lanjut dan permohonan, layari laman rasmi MySTEP di sini.
MyFuture Jobs
Selain MySTEP, anda juga boleh mencari dan memohon pekerjaan melalui portal MyFuture Jobs di bawah Kementerian Sumber Manusia.
Laman ini merupakan pusat sehenti khas untuk semua pencari kerja yang memerlukan. Anda juga boleh mendapat bimbingan secara terus daripada Pengurus MYFutureJobs dan Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan PERKESO Negeri.
Untuk mencari pekerjaan di laman ini, anda hanya perlu memasukkan jenis pekerjaan dan lokasi untuk mencari pekerjaan yang ditawarkan.
Anda juga boleh mencari pekerjaan berdasarkan waktu bekerja, tangga gaji serta tahap pendidikan bermula daripada sekolah rendah sehingga PhD.
Bukan itu sahaja, anda juga boleh mendapatkan maklumat mengenai pesta kerjaya yang dijalankan dalam masa terdekat di laman tersebut.
Untuk makluman, esok akan ada Karnival Kerjaya JaminKerja Keluarga Malaysia 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Ada lebih 12,000 peluang pekerjaan menanti anda. Daftar cepat di sini.
Insentif Penggajian
Selain tu, kerajaan turut menyediakan Insentif Penggajian bagi membantu majikan membayar gaji pekerja untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.
Bagi majikan yang mula mengambil pekerja baharu pada 1 Januari 2022 lalu, bolehlah membuat permohonan di sini.
Malah, kerajaan akan menanggung kos sehingga 40 peratus daripada gaji pekerja berdasarkan syarat tertentu..
Permohonan boleh dibuat di sini bermula 17 Januari 2022 sehingga 30 Jun 2022 ini.
Tambah baik kemahiran secara percuma melalui Upskill Malaysia
Selain tu, anda juga boleh menyertai program Upskill Malaysia untuk menambah kemahiran baru. Program percuma ni terbuka kepada semua rakyat Malaysia tanpa had umur untuk menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat.
Antara kursus ditawarkan ialah Perakaunan & Kewangan, Pentadbiran & Pengkeranian, Penerbangan, Percukaian, Kreativiti & Inovasi, Kejuruteraan, Teknologi Maklumat serta banyak lagi.
Setelah mendaftar di sini, pihak kementerian atau agensi akan menilai maklumat profil anda seperti pengalaman dan kepakaran sebelum memadankannya dengan kursus latihan yang bersesuaian.
Jika terpilih, anda akan menerima emel makluman daripada pihak mereka sebelum menyertai kursus secara kelas ataupun hibrid.