Siakap Keli
Gambar Hiasan via NBC News

Tiket Terbang Ke Angkasa Lepas Kini Sudah Dijual, Dibuka Untuk 1,000 Orang Awam Terawal

Syarikat pelancongan angkasa lepas, Virgin Galactic mengumumkan bahawa akan mula menjual tiket ke angkasa lepas, lapor NBC News.

Pengasasnya, Richard Branson berkata penjualan tiket tersebut akan dilakukan pada minggu ini dengan anggaran kos sebanyak $450,000 (RM1.88 juta).

Mulai pada hari Rabu, orang ramai boleh menempah tempat untuk penerbangan angkasa suborbital yang akan datang.

“Kami merancang untuk dapatkan 1,000 pelanggan pertama kami pada permulaan perkhidmatan komersial akhir tahun ini,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif Virgin Galactic, Michael Colglazier dalam satu kenyataan.

Penerbangan dikatakan akan mengambil masa selama 90 minit dan penumpang akan menikmati ketinggian kira-kira lebih 50 batu.

Berdasarkan laporan, penumpang akan merasai lebih kurang empat minit tanpa berat sebelum kembali ke Bumi.

Para pelancong angkasa lepas akan terbang menaiki kenderaan berkuasa roket yang dikenali sebagai SpaceShipTwo Unity.

Kraf tersebut direka untuk berlepas di landasan Konvensional sambil dilekatkan pada perut kapal penyangkut. Kenderaan itu akan terbang ke 50,000 kaki, di mana Unity dilepaskan dan enjinnya menyala untuk menggerakkannya ke angkasa.

Penerbangan ini akan berlepas dari Spacesport America di New Mexico. Tempahan yang dibuat adalah termasuk beberapa hari latihan dan program persediaan penerbangan angkasa lepas, menurut syarikat itu.

Pada tahun lepas, Branson sendiri dipercayai terbang ke angkasa semasa ekspedisi pertama Virgin Galactic dengan kru penuh.

Penerbangan itu kemudiannya menjadi tumpuan penyiasatan kemalangan oleh Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat, selepas ditentukan bahawa kapal SpaceShipTwo terkeluar dari ruang udara yang ditetapkan semasa penurunannya.

Sumber : NBC News

Fathin Nadzira