Siakap Keli
Gambar Via Bernama

Pilih Tarikh Unik, 59 Pasangan Kahwin Serentak

IPOH, 22 Feb (Bernama) — Tanggal istimewa 22.02.2022 menjadi momen bersejarah bagi 59 pasangan pengantin apabila disatukan dalam upacara perkahwinan beramai-ramai serba ringkas di Wisma Chin Woo di sini hari ini.

Majlis anjuran Ipoh Chin Woo Athletic Association itu mengumpulkan dan meraikan pasangan berumur lingkungan 25 hingga 38 tahun yang diserikan dengan kehadiran ibu bapa masing-masing bagi melengkapkan lagi upacara perkahwinan.

Pasangan sebaya, Chan Kai Wei dan isterinya Chow Ji Khay, 27 berkata mereka memilih tarikh ini kerana ia sangat istimewa dan senang diingati di samping mempunyai makna angka yang bertuah untuk diraikan.

“Kami bekerja di Singapura namun begitu, kami sanggup pulang ke kampung halaman di sini untuk memilih tarikh hari ini sebagai tarikh perkahwinan kami,” kata mereka ketika ditemui selepas melangsungkan perkahwinan tersebut.

Pasangan yang masing-masing bekerja sebagai polis dan pereka fesyen di negara jiran ini turut berkongsi detik perkenalan mereka bermula dari darjah enam sebelum bibit cinta mulai mekar apabila meningkat dewasa.

“Perkenalan kami sudah memasuki tahun ke-15 dan saya mula menyukai isteri sejak di bangku sekolah ketika darjah enam. Tahun lepas, saya ambil keputusan untuk melamar isteri di sebuah pusat penginapan terkenal di Tambun,” tambahnya.

Satu lagi pasangan, Tong Kok Leong, 29 berkata dia dan isterinya, Hah Siaw Jun, 35, memilih untuk tidak berkahwin secara tertutup kepada keluarga sebaliknya memilih untuk disatukan beramai-ramai sebagai satu kenangan yang akan selalu diingati dan sukar untuk mendapatkan tarikh unik seperti ini di masa hadapan.

“Tarikh hari ini unik dan istimewa buat saya dan isteri kerana tidak tahu bila lagi untuk dapatkan tarikh yang begini di masa hadapan. Di samping itu, kos majlis perkahwinan ini hanya berjumlah RM260 bagi setiap pasangan yang merangkumi majlis dan juga sijil perkhahwinan,” kata mereka.

Sementara itu, presiden persatuan Datuk Ooi Foh berkata majlis ini merupakan antara yang terbesar dianjurkan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama hampir dua tahun yang menjejaskan perancangan mereka.

Majlis berlangsung dengan setiap 12 pasangan dikahwinkan serentak bagi memastikan penjarakan sosial dapat diamalkan sepanjang majlis dilaksanakan.

Sumber: BERNAMA

Sofea

There's always another side to every story