Baru-baru ini tular mengenai calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 yang dipercayai ‘menyerang’ sebuah resort di Kuala Rompin Pahang setelah mereka tidak mendengar dengan jelas nama tempat tersebut di dalam ujian mendengar bagi subjek bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.
Menerusi tangkap layar yang dimuatnaik oleh beberapa orang pengguna media sosial, ramai calon SPM yang telah memberikan ulasan yang tidak memuaskan untuk pusat peranginan yang dikenali sebagai Salang Sayang Resort itu.
Susulan dari itu, Salang Sayang Resort telah memberikan respon di Facebook rasmi mereka dengan mengucapkan kata-kata semangat untuk semua calon SPM.
“Kepada semua calon batch 2004, kami mengucapkan selamat maju jaya di masa hadapan.
“Jangan marah pada nama resort kami,” kata resort tersebut.
Dalam kiriman itu, video yang memaparkan keindahan pemandangan di resort tersebut juga menarik perhatian ramai.
Sementara itu, tindakan calon SPM itu turut mendapat pelbagai reaksi dari warganet dan rata-rata dari mereka mengatakan bahawa ia tidak wajar serta tidak sepatutnya berlaku.
Sumber: Salang Sayang Resort