Siakap Keli

(Video) Pemain Tenis Rusia Raih Perhatian, Tulis Mesej ”No War Please” Pada Kamera Tanda Solidariti

Masuk hari keempat peperangan di Ukraine, nampaknya keadaan di sana masih lagi belum menunjukkan tanda-tanda untuk reda. Ratusan orang awam dilaporkan telah terbunuh dan ribuan lagi cedera.

Tindakan Rusia yang mencetuskan peperangan tersebut telah dikecam oleh masyarakat di dunia. Penunjuk perasaan dilaporkan telah turun ke jalan di London, Tokyo, Paris dan beberapa bandar di negara lain untuk memprotes pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.

Di Rusia sendiri, ada sesetengah rakyatnya yang turut membantah tindakan Vladimir Putin secara terbuka.

Terbaru, pemain tenis Rusia, Andrey Rublev menarik perhatian ramai apabila dia menyampaikan satu mesej kepada dunia dengan menulis ”No war please” (tolong jangan berperang) pada kamera TV selepas mara ke final Kejohanan Tenis Dubai pada Jumaat.

Memetik laporan Express.co, pemain berusia 24 tahun itu menulis mesej tersebut sejurus selepas kemenangannya dan ia dianggap sebagai sokongan awam terhadap ‘musuh’ Rusia.

“Pada saat-saat seperti ini, anda sedar bahawa perlawanan saya tidak penting. Ia bukan tentang perlawanan saya tetapi bagaimana ia memberi kesan kepada saya.

“Apa yang berlaku di Ukraine lebih dahsyat. Kita perlu sedar betapa pentingnya untuk mempunyai keamanan di dunia dan menghormati antara satu sama lain,” katanya.

Dalam perlawanan tersebut, Rublev bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan pemain dari Poland, Hubert Hurkacz dalam pertemuan separuh akhir mereka.

Di aksi final nanti, dia sama ada akan menentang Jiri Vesely atau Denis Shapovalov untuk trofi yang diidamkan.

Sumber: Express.co

Sofea

There's always another side to every story