Hari demi hari seluruh dunia akan mendapat berita mengenai pergolakan antara Russia dan juga Ukraine. Pelbagai bentuk serangan yang dikenakan ke atas Ukraine.
Seorang askar Ukraine yang dilapor sanggup berkorban demi negara dengan meletupkan dirinya bagi memusnahkan sebuah jambatan di sana bagi menghalang kemaraan tentera Russia, memetik laporan Newsweek.
Vitaly Skakun Volodymyrovych merupakan seorang tentera sukarela Ukraine. Dia melakukan misi berbahaya itu dengan memasang jerat bom pada sebuah jambatan di Henichesk wilayah Kherson lapor The Sun.
Jambatan itu merupakan titik jambatan yang menghubungkan Crimea ke bandar utama Ukraine. Seperti yang diketahui umum, Crimea merupakan wilayah yang ditakluki Russia.

Difahamkan kejadian itu mula berlaku apabila para tentera Vladimir Putin mara ke arah askar Volodymyrovych. Pada ketika itu askar Ukraine, Volodymyrovych sedang memasang fius jerat bom.
Dia sedar bahawa dia tidak mempunyai masa yang banyak untuk memasang fius dan berlari menyelamatkan diri.
“Jambatan itu sudah dipenuhi dengan jerat bom dan dia tidak sempat melarikan diri dari jambatan itu.
“Sebelum kejadian, Volodymyrovych memberitahu mereka bahawa dia akan meletupkan jambatan itu,” kata anggota sepasukan.
Menurut jeneral tentera, sebaik sahaja mereka menerima kata-kata Volodymyrovych itu, jambatan itu terus meletup.
Tindakan berani askar Volodymyrovych itu dipuji oleh masyarakat di sana. Kejadian penuh patriotik itu meraih pujian ramai.
Askar berkenaan telah mengorbankan diri demi membantu memperlahankan pergerakan musuh ke arah mereka. Kejadian itu memberi peluang kepada unit tentera Ukraine untuk berkumpul semula dan menempatkan pertahanan mereka dengan lebih strategik.