NIBONG TEBAL, 1 Mac — Hospital Sungai Bakap (HSB) mencari ahli keluarga atau waris seorang lelaki yang meninggal dunia pada Januari lepas dan sehingga sekarang mayatnya masih belum dituntut.
Jurucakap HSB berkata Leu Chong Hook, 52, meninggal dunia akibat sindrom koronari akut pada 9.01 malam 30 Jan lepas ketika menerima rawatan.
“Mangsa pada mulanya menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ) sebelum dipindahkan ke HSB pada 26 Jan lepas dan berdasarkan maklumat di HSJ, si mati adalah seorang gelandangan serta tinggal di Tokong Cina Sungai Puyu.
“Semasa menerima rawatan di dalam wad HSB, lelaki itu hanya terbaring, tidak boleh bercakap malah tidak memahami arahan yang diberikan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Justeru, katanya HSB meminta kerjasama orang ramai yang mengenali ahli keluarga atau waris Leu agar menghubungi pihak hospital bagi urusan pengebumian.
Sumber: BERNAMA