Siakap Keli

Kenali Bom Vakum & Cara Bom Bukan Nuklear Paling Dahsyat Ini Berfungsi

Rusia dituduh bakal menggunakan bom thermobaric atau bom vakum, bom bukan nuklear paling dahsyat dalam serangan-serangan akan datang ke atas Ukraine.

Penggunaan bom ini sangat kontroversi kerana ia mempunyai kesan kemusnahan yang sangat dahsyat, jauh lebih dahsyat berbanding senjata konvensional lain yang sama saiz.

Malah, penganalisis dunia pertahanan menyifatkan bom vakum, bon bukan nuklear paling dahsyat milik Rusia dan beberapa buah negara lain ini adalah antara senjata perang paling kejam dan menakutkan pernah wujud.

Apa itu bom vakum dan bagaimana ia berfungsi

“Bayangkan anda menarik nafas dalam-dalam kemudian tenggelamkan diri dalam air. Kemudian bayangkan semua oksigen dipaksa keluar serta merta dari badan anda.

Kemudian cuba tarik nafas sekali lagi. Namun kini bukan air sejuk yang akan memenuhi paru-paru anda, tetapi toksik dan zarah mudah terbakar, mula membunuh anda dari dalam ke luar,” kata Peter Lee, penyelidik dari Universiti Portsmouth.

Bom vakum atau nama lainnya bom aerosol atau juga dipanggil bahan letupan udara, terdiri daripada satu bekas dengan 2 peledak yang berasingan.

Bom vakum boleh dilancarkan sebagai roket ataupun digugurkan daripada pesawat pengebom. Apabila mengenai sasaran, peledak pertama akan meletup terlebih dahulu dan membuka bekas serta menyebarkan campuran minyak secara meluas yang dikenali sebagai awan/cloud.

Awan ini boleh menembusi mana-mana kubu atau bangunan yang tidak ditutup dengan rapat. Manakala peledak kedua pula akan meletup dan menyambar awan ini sekaligus menghasilkan bebola api yang dahsyat, menyebabkan gelombang letupan dan ruang vakum yang lebih dahsyat berlaku, menyedut dan membakar semua oksigen yang ada.

Ia dikatakan sangat efektif untuk meruntuhkan bangunan, bunker, terowong ataupun gua sekaligus menyebabkan kematian dan kecederaan.

Menurut laporan BBC, bom vakum ini dihasilkan dalam pelbagai saiz, boleh dikendalikan oleh seorang askar seperti bom tangan hinggalah senjata pemusnah besar-besaran, menghampiri bom nuklear.

Father of all bomb

Pada 2017, Rusia dilapor telah menguji sebuah bom vakum yang dikenali sebagai Father of all Bomb (Foab). Ia disifatkan sebagai bom bukan nuklear paling dahsyat pernah dihasilkan.

 

 

Letupan bom ini dikatakan telah menghasilkan kesan letupan setara dengan kekuatan bom konvensional 44-tan.

Memandangkan Rusia mempunyai keupayaan ini, timbul kebimbangan Rusia mungkin menggunakannya dalam peperangan menentang Ukraine.

Rusia dah pakai ke di Ukraine?

Oksana Markarova, Duta Ukraine ke Amerika Syarikat menuduh Rusia menggunakan bom vakum dalam siri serangan ke atas negaranya.

Bagaimanapun, tuduhan itu tidak dapat dibuktikan setakat ini.

Namun begitu, media melaporkan kenderaan-kenderaan membawa roket pelancra thermoboric ini kelihatan di wilayah Ukraine sejak beberapa hari lalu.

Salah ke guna bom ni dalam peperangan?

Setakat ini, tiada undang-undang yang melarang penggunaan bom ini dalam peperangan. Namun, jika ia menyasarkan orang awam, negara pengguna boleh didakwa atas jenayah perang dan dihadapkan ke mahkamah dibawah Konvensyen Huge 1899 & 1907.

Siapa yang pernah menggunakan bom ini?

Kewujudan bom ini boleh dijejaki kembali ke era Perang Dunia Kedua. Jerman dikatakan pernah mengguna pakai bom ini dalam kempen peperangannya. Bagaimanapun tiada negara yang benar-benar membangunkan bom ini sehinggalah 1960, apabila Amerika Syarikat mula menggunakannya dalam ketika Perang Vietnam.

 

 

Pada 2001, Amerika Syarikat juga menggunakan bom ini ketika menyerang kedudukan Al-Qaeda di Afghanistan.

Rusia juga pernah menggunakannya dalam Perang Chehnya pada 1999 dan dikecam oleh Pertubuhan Hak Asasi Manusia.

Selain itu, Syria juga dilapor menggunakan bom vakum buatan Rusia dalam Perang Syria ketika ini.

BACA: (Video) Viral Petani Ukraine Curi Kereta Kebal Russia, Jual Sebagai Besi Buruk Untuk Dapatkan Wang

Sumber: BBC, Independent

Zahirah