Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Alam semula jadi kaya dengan pelbagai hasil bumi yang menjadi sumber penting kepada kehidupan manusia dan pembangunan sesebuah negara.
Antaranya termasuk petroleum, gas asli, arang batu, emas, bijih timah serta pelbagai jenis mineral lain yang tersimpan di dalam perut bumi.
Sumber-sumber ini bukan sahaja digunakan sebagai bahan mentah dalam industri, malah menjadi asas kepada penjanaan tenaga, pembangunan teknologi dan perdagangan global yang semakin berkembang.
Kekayaan hasil bumi ini menjadikan sesebuah negara lebih berdaya saing dan berpengaruh di peringkat dunia.
Salah satu hasil bumi yang penting ialah uranium. Mungkin ramai yang masih belum tahu apa sebenarnya uranium dan negara mana yang paling banyak hasilkan bahan ini.
Oleh itu, hari ini SK akan kongsikan beberapa fakta menarik mengenainya.
Menurut Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), uranium ialah unsur radioaktif semula jadi yang mempunyai nombor atom 92 dan dilambangkan dengan simbol kimia U dalam jadual berkala.

Ia tergolong dalam kumpulan khas unsur yang dipanggil “aktinida”, iaitu unsur yang ditemui agak lewat dalam sejarah.
Seperti semua aktinida yang lain, uranium ialah unsur radioaktif dan ia mereput dari semasa ke semasa dan membebaskan tenaga dalam proses tersebut.
Sifat istimewa uranium menjadikannya bahan penting dalam penghasilan bahan api bagi kebanyakan reaktor nuklear.
Apa yang lebih menarik, bahan api uranium sebesar telur ayam mampu menghasilkan tenaga elektrik yang sama banyak dengan 88 tan arang batu.
Uranium juga merupakan antara unsur yang biasa ditemui dalam kerak bumi, kira-kira 500 kali lebih banyak berbanding emas.
"Walaupun kelihatan seperti unsur yang sangat jarang, sebenarnya uranium wujud di mana-mana sahaja. Misalnya, dalam batuan, tanah, air dan dalam tubuh manusia," kata IAEA.
Bukan itu sahaja, di lautan juga, kira-kira empat bilion tan uranium didapati dengan kepekatan yang rendah.
Seperti unsur-unsur lain, uranium wujud dalam beberapa variasi yang berbeza dari segi jisim dan sifat fizikal tetapi mempunyai sifat kimia yang sama. Variasi ini dipanggil sebagai isotop.
Mengikut World Nuclear Association (WNA), kira-kira tiga perempat daripada pengeluaran uranium dunia pada 2024 datang dari Kazakhstan, Kanada dan Namibia.
Pada tahun tersebut, Kazakhstan kekal sebagai pengeluar uranium terbesar dunia dengan menyumbang 39% daripada pengeluaran global.
Ia diikuti Kanada sebanyak 24% dan Namibia sebanyak 12%.
Secara keseluruhannya, sebanyak 60,213 tan uranium dihasilkan di seluruh dunia pada 2024.
Dalam pada itu, lebih 55% daripada uranium dunia kini dihasilkan menggunakan kaedah larut lesap in situ atau in situ leaching.
Kazakhstan
Kazakhstan ialah sebuah negara di Asia Tengah yang terkurung daratan dan merupakan pengeluar uranium terbesar dunia sejak 2009.
Sebahagian besar uranium di negara itu dilombong menggunakan kaedah larut lesap in-situ (in-situ leaching), iaitu teknik pengekstrakan yang lebih kos efektif dan kurang mengganggu permukaan tanah berbanding perlombongan konvensional.
Kazatomprom, syarikat perlombongan uranium milik kerajaan Kazakhstan, merupakan pengeluar uranium terbesar dunia dan mengendalikan pelbagai operasi perlombongan di negara itu.
Berita mengenai kemungkinan Kazatomprom gagal mencapai sasaran pengeluarannya menjadi antara faktor yang mendorong harga uranium melonjak melepasi AS$100 setiap paun pada awal 2024.
Kanada
Kanada merupakan pengeluar uranium kedua terbesar dunia pada 2024.
Negara kedua terbesar dunia dari segi keluasan itu menghasilkan sebanyak 14,309 tan uranium, bersamaan kira-kira 24% daripada pengeluaran global.
Jumlah itu meningkat berbanding 11,001 tan pada 2023 dan 7,351 tan pada 2022.
Sebahagian besar pengeluaran uranium Kanada tertumpu di wilayah Saskatchewan yang mempunyai beberapa lombong uranium bermutu tinggi.

Namibia
Namibia yang terletak di selatan Afrika turut menjadi antara pemain utama dalam industri pengeluaran uranium dunia.
Pada 2024, Namibia merupakan pengeluar uranium ketiga terbesar dunia dengan menghasilkan sebanyak 7,333 tan uranium.
Jumlah itu mewakili kira-kira 12% daripada keseluruhan pengeluaran uranium global pada tahun berkenaan.
Pengeluaran uranium Namibia turut meningkat berbanding 6,986 tan pada 2023 dan 5,613 tan pada 2022.
Selain itu, bagi merangsang pembangunan ekonomi, kerajaan Namibia turut menyokong perkembangan industri uranium negara tersebut.
Namibia pernah menghasilkan lebih banyak uranium berbanding Kanada pada 2020 dan mengatasi Australia pada 2021. Bagaimanapun, Kanada kembali mencatatkan pengeluaran lebih tinggi mulai 2022.
Bagi lombong konvensional, bijih uranium akan dihancurkan dan dikisar sebelum melalui proses larut lesap menggunakan asid sulfurik untuk melarutkan oksida uranium.
Di kilang lombong konvensional atau loji rawatan bagi operasi ISL, uranium kemudiannya dipisahkan melalui proses pertukaran ion sebelum dikeringkan dan dibungkus, biasanya dalam bentuk uranium oksida atau U₃O₈.
Sesetengah kilang dan operasi ISL (terutamanya di Amerika Syarikat) menggunakan larutan karbonat sebagai ganti asid sulfurik bergantung kepada keadaan dan jenis badan bijih.

Bagi uranium yang diperoleh sebagai hasil sampingan, contohnya daripada tembaga atau fosfat, proses rawatan biasanya lebih kompleks.
Sepanjang tahun 1990-an, industri pengeluaran uranium mengalami penyatuan melalui pengambilalihan, penggabungan dan penutupan lombong. Ia kemudian menjadi lebih pelbagai dengan struktur pemilikan multinasional di Kazakhstan.
Lebih separuh daripada pengeluaran uranium dunia kini datang daripada syarikat perlombongan milik kerajaan, yang sebahagiannya lebih mengutamakan keselamatan bekalan berbanding pertimbangan pasaran.

