Siakap Keli
Gambar: Metro UK

Mumia Kuno Mirip Ikan Duyung Ditemui Di Kuil Di Jepun, Hasil Kajian Akan Didedah Tahun Ini

Satu makhluk mumia kuno yang menyerupai ‘ikan duyung’ yang dikatakan mampu memberi sesiapa yang memakan dagingnya kehidupan abadi akan dianalisis oleh para saintis.

Makhluk yang dikatakan memiliki wajah seperti manusia dan memiliki ekor seperti ikan tersebut telah menarik perhatian dan membingungkan pakar selama berabad lamanya.

Makhluk tersebut didakwa ditangkap di Lautan Pasifik, di luar pulau Shikoku, Jepun, antara tahun 1736 dan 1741.

Kini makhluk tersebut berada di sebuah kuil di bandar Asakuchi.

Makhluk tersebut dijumpai dalam keadaan dua belah tangannya ibarat sedang menutup mukanya yang meringis. Huraian rambut masih kelihatan di bahagian kepalanya dan ia masih mempunyai sisa gigi yang tajam dan runcing di mulut.

Kredit: Metro UK

Penyelidik dari Universiti Sains dan Seni Kurashikil telah mengambil mumia tersebut untuk menjalankan ‘CT scan’ dalam usaha untuk membongkar misterinya.

Hiroshi Kinoshita dari Persatuan Cerita Rakyat Okayama, yang menghasilkan projek itu, berkata mumia tersebut mungkin mempunyai kepentingan dalam perkara keagamaan.

“Ikan duyung dalam kalangan orang Jepun mempunyai lagenda berkenaan keabadian,” katanya.

“Pernah dikatakan jika anda memakan isi dari seekor ikan duyung, anda akan hidup buat selama-lamanya. Ada juga dalam lagenda tersebut yang menceritakan bahawa terdapat seorang wanita yang secara tidak sengaja makan isi daging ikan duyung tersebut dan hidup selama 800 tahun.”

Lagenda ‘Yao-Bikuni’ ini juga dipelihara berhampiran kuil kawasan mumia ikan duyung ini ditemui.

Kredit: Metro UK

Hiroshi turut berkongsi bahawa menurut cerita rakyat, ikan duyung juga boleh menjadi petanda yang tidak menyenangkan pada masa COVID-19 ini.

“Terdapat juga lagenda bahawa ikan duyung meramalkan penyakit berjangkit,” katanya lagi

Kredit: Metro UK

Ketua Sami, Kozen Kuida berkata kedatangan mumia tersebut ke kuil Enjuin di Asakuchi tidak diketahui bila dan bagaimana, namun makhluk itu telah disimpan di dalam sebuah kotak kaca selama 40 tahun yang lalu dan kini di simpan di dalam peti kalis api.

Hiroshi bagaimanapun, memandang situasi tersebut dengan lebih pragmatik tentang makhluk itu. Dia percaya makhluk tersebut sebenarnya dihasilkan ketika zaman Edo suatu ketika dahulu.

Para saintis akan mendedahkan penemuan mereka selepas selesai menganalisa mumia kuno tersebut.

Apa itu ikan duyung?

Ikan duyung merupakan satu makhluk mitos yang digambarkan mempunyai badan seperti ikan tetapi berkepala manusia, kebiasannya perempuan cantik.

Hikayat-hikayat mengenai ikan duyung dikatakan telah wujud sejak ribuan tahun dahulu. Ia boleh ditemui dalam banyak kebudayaan, bermula daripada penempatan awal persisiran pantai di Ireland hinggalah kawasan padang pasir di Afrika Selatan.

Daripada namanya pula, ”Mermaid” merupakan gabungan perkatan Inggeris lama iaitu ”Mere” yang bermaksud ‘laut’ dan ‘maid’ iaitu gadis atau wanita.

Ikan duyung dan simbol kebudayaan

Dengan wujudnya kepelbagaian budaya dalam tamadun-tamadun manusia, ikan duyung juga membawa kepada makna simbol yang berbeza-beza antara satu sama lain.

Dalam kebudayaan Afrika, ‘semangat’ air ini dipanggil Mami Wata. Walaupun lakaran Mami Wata sedikit berbeza dengan gambaran biasa ikan duyung, namun ia mempunyai persamaan antara satu sama lain. Bezanya, Mami Wata dikatakan boleh berubah bentuk, maka ia boleh menjelma sebagai lelaki ataupun wanita.

Mami Wata dipuja sebagai simbol kecantikan, penyembuhan dan juga pelindung daripada bala bencana.

Selain itu, dalam mitologi Greek dan Roman, imej ikan duyung dalam tamadun ini hampir menyamai gambaran ikan duyung yang kita kenali. Dalam mitos Greek, makhluk yang dikenali sebagai Sirens biasanya dianggap sebagai ikan duyung.

Walaupun kedua-dua makhluk ini mempunyai banyak persamaan, namun pengkaji mendapati Sirens dan ikan duyung adalah entiti yang berbeza.

Dalam cerita rakyat Greek, adik kepada Alexander The Great, iaitu Thessalonike bertukar menjadi ikan duyung ketika kematiannya pada 250BC dan meneruskan kehidupan di Laut Aegean.

Dikatakan, apabila ada kapal yang melalui laut tersebut, Thessalonike akan muncul dan menahan kapal-kapal berkenaan. Kemudian, dia akan bertanya “Adakah Alexander masih hidup?”, jika pelayar menjawab dengan betul, “Ya, Alexander masih hidup dan memerintah”, maka Thessalonike akan melepaskan kapal tersebut.

Sebaliknya, jika jawapan yang diberi salah dan mencetuskan kemarahan Thessalonike, maka padah menanti para pelayar berkenaan.

Terdapat pelbagai lagi simbol ikan duyung misalnya dalam tamadun Eropah Timur, ia dikenali sebagai Rusalki, manakala dalam masyarakat purba di Asia Tenggara, ikan duyung dikenali sebagai Suvannamaccha.

Sumber: Metro UK, Royal Museum Greenwich

Zahirah