Siakap Keli

Loji Nuklear Terbakar, Impak 10 Kali Chernobyl Jika Meletup

Loji kuasa nuklear terbesar Eropah, Zaporizhzhia di Ukraine dilaporkan terbakar pada awal Jumaat didakwa selepas pertempuran meletus antara tentera Ukraine dengan tentera Rusia.

Memetik kenyataan Menteri Luar Ukraine, Dmytro Orlov menerusi laman Twitternya berkata pertempuran kali ini sangat sengit antara kedua-dua belah pihak.

Tegasnya, jika loji kuasa nuklear terbesar di Eropah ini terbakar secara berterusan, ia kemungkinan akan meletup dan menjadi 10 kali lebih besar daripada Chernobyl.

Beliau mengharap tentera Rusia menghentikan serangan kepada kawasan tersebut supaya memberi laluan kepada anggota bomba masuk untuk memadamkan kebakaran serta mewujudkan zon keselamatan.

Menerusi satu rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan tembakan bertubi-tubi di loji berkenaan sehingga berlaku kebakaran dan letupan kecil.

Menurut laporan, pihak bomba masih belum dapat menghampiri loji berkenaan disebabkan pertempuran yang masih lagi berlangsung.

Sebelum ini ada dakwaan mengatakan bahawa tentera Rusia sedang mempertingkatkan lagi usaha untuk merampas loji nuklear berkenaan dan telah memasuki bandar berkenaan dengan kereta kebal.

Isu pencerobohan Rusia ke atas Ukraine sudah memasuki hari yang ke sembilan.

Untuk pengetahuan umum, loji kuasa nuklear Zaporizhzhia di Enerhodar merupakan loji kuasa nuklear terbesar di Eropah dan antara 10 terbesar di dunia.

Malaysia sebelum ini melalui Kementerian Luar Negeri telah menyatakan sokongan dan membuat undian ke atas resolusi ‘Tindakan keganasan ke atas Ukraine’ dalam perhimpuan agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menurut kementerian itu, sokongan itu dinyatakan atas pendirian berprinsip negara yang menghormati kedaulatan, kemerdekaan serta integriti wilayah sesebuah negara yang amat penting kepada Malaysia, walaupun Malaysia tidak bersetuju sepenuhnya dengan kandungan resolusi tersebut.

“Menggariskan hubungan kerjasama yang erat dengan kedua-dua buah negara, Rusia dan Ukraine, Malaysia sedar situasi konflik ini adalah kompleks dan rumit berikutan keadaan geopolitik serta perbezaan dalam pelbagai aspek yang terus menjadi kebimbangan bagi kedua-dua buah negara.

“Dalam hal ini, Malaysia berpandangan supaya negara-negara yang terlibat perlu mencari jalan penyelesaian melalui dialog dan rundingan damai,” kata kementerian itu dalam satu siaran akhbar.

BACA: Punca Kematian Pelakon Terkenal Thailand, Nida Tangmo Didedahkan

Sumber: Newshub

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang