Siakap Keli
Gambar: Steam Community & Twitter

Pernah Singgah Di KLIA, Kenali Pesawat Terbesar Di Dunia Buatan Ukraine

Baru-baru ini, dunia digemparkan dengan insiden serangan Rusia ke atas Lapangan Terbang Hostomel, Ukraine yang telah menyebabkan kemusnahan pesawat terbesar di dunia, Antonov AN-225 Mriya.

Antonov AN-225 Mriya merupakan kapal terbang buatan syarikat penerbangan Ukraine, Syarikat Antonov pada tahun 1980-an yang digunakan untuk muatan kargo.

Pesawat yang dijuluki dengan nama Mriya ini merupakan pesawat kebanggaan Ukraine dan telah mencipta sejarah dalam industri penerbangan. Malah nama ‘Mriya’ itu sendiri bermaksud ‘mimpi’ dalam bahasa Ukraine.

Gambar: Aviation Source

AN-225 Mriya terbang buat pertama kali pada tanggal 21 Disember 1988, diketuai oleh Oleksandr Galunenko. Mriya berlepas buat kali pertama dari kilang aerodrome di Svyatoshyn yang berlokasi di bahagian barat ibu kota Kyiv.

Pernah digunakan oleh Kesatuan Soviet

Kapal terbang gergasi tersebut berukuran 84 meter (m) panjang dan 18.2m tinggi, dengan lebar sayap 88m, dua kali ganda dari saiz padang bola pada umumnya.

Pesawat ini mampu bergerak pada kadar kelajuan 800 kilometer sejam (km/j) dan mampu terbang selama 18 jam tanpa muatan.

Menurut Syarikat Antonov, terdapat dua unit AN-225 Mriya yang dihasilkan namun hanya satu daripadanya siap dibina.

AN-225 Mriya awalnya dicipta untuk kegunaan Kesatuan Soviet. Sebelum digunakan secara komersial, AN-225 Mriya dahulunya diguna pakai oleh Soviet untuk mengangkut pesawat ulang alik mereka.

Gambar: Steam Community

AN-225 Mriya cipta sejarah

AN-225 Mriya mula melakar sejarah pada tahun 1991, di mana pesawat ini pernah membawa dua orang kanak-kanak berusia 10 dan 11 tahun yang merupakan mangsa insiden nuklear Chernobyl 1986 ke pusat rawatan di Amerika Syarikat.

Pada tahun 2010, AN-225 Mriya mencatat rekod dunia dengan membawa muatan kargo terpanjang, iaitu dua unit kipas turbin ujian berukuran 42.1m dari Tianjin, China ke Skrydstrup, Denmark.

Tidak berhenti di situ, AN-225 Mriya sekali lagi mencipta sejarah dalam sektor penerbangan apabila membawa muatan kargo tunggal paling berat di dunia. Muatan tersebut adalah sebuah generator untuk loji jana kuasa gas di Armenia seberat 189 tan.

Kapal terbang terbesar di dunia ini juga pernah mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Mei 2016 untuk mengisi bahan bakar sebelum berlepas ke Perth, Australia.

Pada tahun 2020, tepatnya ketika pandemik COVID-19 melanda dunia, pesawat ini turut digunakan untuk menghantar bekalan perubatan ke Poland.

Gambar: Airline Ratings

Pesawat lagenda Ukraine ini bukan sahaja mencipta sejarah dalam dunia penerbangan, malah pernah cuba ditarik oleh para atlet yang bukan calang-calang kuat untuk mencatat rekod dunia.

Pada tahun 2021, lapan orang atlet Ukraine ini telah memecahkan rekod sebelumnya apabila berjaya menarik AN-225 Mriya sejauh 4 meter 30 inci, dalam masa satu minit dan 13 saat.

Gambar: AIRLIVE

Sumber: Daily Mail, Antonov

Eyla Azri