Siakap Keli
Kredit: Oddity Central

Lukisan Comel Rupanya Berhantu, Lelaki Dakwa Hidupnya Jadi Merana

Seorang lelaki yang suka mengumpul benda-benda pelik mendakwa lukisan yang dibeli dengan harga $50 di sebuah pasar lambak telah mengubah hidupnya menjadi lebih buruk. Meskipun sudah diberi amaran bahawa lukisan itu akan membawa malang, lelaki tersebut tetap berkeras untuk membelinya.

Lelaki itu telah membeli lukisan dua anak patung yang tidak dinamakan di pasar lambak, tidak mengendahkan amaran penjual lukisan itu yang memberitahu bahawa ia membawa sesuatu yang buruk.

Disebabkan rasa ingin tahu yang tinggi dan ingin merasa pengalaman itu sendiri, lelaki itu mencabar dirinya untuk membeli lukisan tersebut.

Malangnya, lelaki itu mendakwa dia telah mengalami banyak perkara buruk sebaik sahaja dia membawa lukisan itu pulang bersamanya.

Kredit: Oddity Central

Menurut lelaki berkenaan, antara perkara pelik yang berlaku kepada dirinya ialah dia mula kurang tidur, berlaku serangan serangga di rumahnya dan hamster peliharaannya telah mati secara tiba-tiba. Kesakitan, kesunyian, tidak dapat tidur dan merasa gelisah telah menyerang hidupnya yang bahagia sebelum ini.

Dia yakin, semua keburukan yang berlaku dalam hidupnya adalah disebabkan oleh lukisan itu. Kini, dia telah melelong lukisan itu di eBay dalam usaha untuk memulihkan kehidupannya semula.

“Wanita di pasar lambak itu telah memberi amaran kepada saya sebelum membeli lukisan ini dan saya akan memberi amaran kepada anda semua pula. Tiada sebarang faedah yang akan diperoleh daripada lukisan ini. Saya tidak terlalu memikirkannya pada masa itu dan hanya menganggap dia adalah salah seorang peniaga aneh yang menjaja barangan mereka dengan harga murah,” tulis lelaki itu dalam bahagian penerangan produk eBay.

“Lukisan itu sememangnya kelihatan comel, dengan dua anak patung yang kelihatan sangat naif digambarkan di dalamnya. Namun, anda semua jangan tertipu,” penjual itu memberi amaran.

“Saya tidak tahu darah terkutuk siapa yang bercampur dengan cat untuk melukis kepingan lukisan ini, tetapi kuasanya kuat.”

Kredit: Oddity Central

Tambah lelaki itu, dia boleh sahaja memusnahkan lukisan itu dengan membakarnya, tetapi tindakan itu akan mendatangkan pelbagai risiko kepada dirinya seperti kemalangan yang lebih besar.

Dia menjualnya pada harga yang sama dia membelinya, tetapi berharap orang yang berminat dengan ilmu ghaib akan membayar lebih sedikit untuk mengimbangi kerugian yang ditanggungnya sebelum ini.

“Saya memulakan lelongan dengan harga $50 iaitu harga yang saya bayar untuk lukisan itu sebelum ini tetapi saya berharap seseorang akan membelinya dengan harga yang lebih mahal sedikit untuk menebus semua yang saya lalui. Tetapi sebelum anda membeli lukisan ini, saya awal-awal telah berikan amaran!” katanya.

Sumber: Oddity Central

Akhmar Ikmal

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.