Siakap Keli
Gambar via Bernama

(Video) Tiada Lagi Beg Berat Ke Sekolah, KPM Senaraikan 7 Inisiatif Bantu ‘Ringankan’ Beban Murid

Tidak lama lagi, sesi persekolahan penggal baharu akan dibuka dan pelajar akan memulakan sesi pembelajaran mereka di sekolah. Dalam erti kata lain, tiada lagi sesi pembelajaran dari rumah.

Bagaimanapun isu pelajar didakwa membawa beg bermuatan berat ke sekolah masih lagi menjadi perbualan. Situasi ini mendatangkan pelbagai pendapat daripada rata-rata ibu bapa.

Bagaimanapun, kebimbangan ini telah pun ‘dijawab’ oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi tujuh inisiatif yang dipraktikkan bagi meringankan beban pelajar.

Dalam masa sama, inisiatif ini juga dipercayai lebih memudahkan mereka untuk menjalani sesi pembelajaran di sekolah kelak. Justeru, berikut di bawah ialah tujuh inisiatif KPM bagi isu’ beg sekolah berat’.

7 inisiatif KPM sebagai solusi bagi isu beg berat

1. Penyediaan Lokar

KPM akan menyediakan lokar di sekolah rendah secara berfasa. Fasa I akan melibatkan penyediaan lokar untuk murid Tahap I, iaitu Tahun I, Tahun 2 dan Tahun 3 di sekolah rendah yang beroperasi secara dua sesi. Pelaksanaan ini akan melibatkan 10,662 kelas dengan 323,186 orang murid. Jumlah anggaran peruntukan tahun 2022 untuk Fasa 1 adalah sebanyak RM37.3 juta.

Bagi Fasa 2 pula, penyediaan lokar akan diperluaskan kepada murid Tahap 2, iaitu Tahun 4, Tahun 5 dan Tahun 6 di sekolah rendah yang beroperasi secara dua sesi. Pelaksanaan dijangka pada tahun 2023.

Bagi sekolah satu sesi pula, murid akan menyimpan buku di dalam laci meja di bilik darjah masing-masing.

2. Penyusunan Semula Jadual Waktu

Melaksanakan jadual waktu yang mengandungi tiga hingga empat mata pelajaran sehari, mengikut kaedah dan pelaksanaan yang sesuai terutama aspek pemberatan subjek, ketersediaan guru dan sesi persekolahan.

Di samping itu, sekolah akan diberi kelonggaran untuk menyediakan jadual waktu mengikut kitaran minggu sebagaimana yang sedang dilaksanakan oleh sebilangan sekolah bawah KPM.

BACA JUGA: (Video) Cuba Galas Banyak Kali Tetapi Masih Jatuh, Akhirnya ‘Rahsia’ Beg Sekolah Berat Kanak-kanak Ini Didedahkan Ibunya Sendiri

3. Buku Latihan

Bilangan buku latihan hendaklah tidak melebihi dua buah buku bagi setiap mata pelajaran pada satu satu masa. Setiap buku latihan hendaklah tidak melebihi 80 muka surat.

4. Buku Aktiviti dan Buku Kerja

Murid hanya dibenarkan untuk menggunakan buku aktiviti yang disediakan oleh KPM manakala buku kerja hanya boleh digunakan sebagai bahan rujukan atau bahan ulang kaji di luar waktu pengajaran dan pembelajaran (PdP).

5. Buku Teks Digital

Penerbitan baharu buku teks dalam format digital secara berterusan. Sehingga kini, sebanyak 692 judul buku teks digital telah dimuat naik dalam pelantar Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa). Murid yang mempunyai peranti boleh mengakses buku teks digital melalui pelantar DELIMa.

6. Pendekatan PdP

Guru digalakkan menggunakan pendekatan PdP berpusatkan murid iaitu pembelajaran bertema, modular, pembelajaran berasaskan projek, simulasi amali (virtual lab) atau pembelajaran terbeza.

7. Kerjasama Dengan JAKIM

Kerjasama dengan pihak Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM) juga diadakan dari aspek penyelarasan uniform agar murid diberi kelonggaran untuk memakai uniform sekolah masing-masing semasa sesi persekolahan KAFA.

BACA JUGA: Permohonan Kemasukan Murid Tahun Satu Sesi 2023/2024 & Prasekolah Dibuka Mulai 1 Mac, Ini Pautannya

Sumber: Kementerian Pendidikan Malaysia

 

Faiz Mustafa