Siakap Keli
Gambar Via Bernama

Runtuhan Batu Kuari: Dua Cedera, Dua Hilang Dikhuatiri Tertimbus

IPOH, 8 Mac (Bernama) — Dua lelaki hilang dikhuatiri tertimbus dalam kejadian runtuhan batu kuari di kawasan Tambun, Simpang Pulai pagi tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira 9.40 pagi dan anggota serta pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai dikerahkan ke tempat kejadian.

“Setibanya jentera di lokasi itu, pengurus kuari memaklumkan terdapat runtuhan batu melibatkan empat mangsa termasuk dua Orang Asli. Laporan awal komander operasi memaklumkan, dua mangsa dapat menyelamatkan diri dan dua orang hilang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) hadir ke lokasi kejadian bagi membantu mencari mangsa yang tertimbus dan operasi pencarian masih lagi dijalankan.

Pemerhatian Bernama di lokasi kejadian mendapati pasukan penyelamat sedang giat melakukan operasi mencari dan menyelamat manakala kedua-dua mangsa yang selamat berusia lingkungan 40 dan 50-an diberi rawatan segera.

Jabatan Mineral dan Geosains juga sedang melakukan penilaian risiko di lokasi runtuhan.

Sumber: BERNAMA

Sofea

There's always another side to every story