Siakap Keli

Dikenakan Pelbagai Sekatan, Rusia Keluarkan Senarai Negara Dianggap ‘Bukan Kawan’

Berhubung dengan isu pencerobohan di Ukraine yang dicetuskan oleh Rusia baru-baru ini, Rusia telah menerima beberapa sekatan daripada beberapa buah negara yang tidak mahu konflik ini berpanjangan.

Menjawab semua ini, Kerajaan Persekutuan Rusia pada hari Isnin (7/3/2022), telah menetapkan senarai negara dan wilayah asing yang telah melakukan tindakan bermusuhan terhadap syarikat dan rakyat Rusia.

Dipetik daripada Agensi Berita Rusia TASS, negara dan wilayah yang termasuk dalam senarai ini telah mengenakan atau menyertai sekatan terhadap Rusia selepas bermulanya operasi ketenteraan khas Angkatan Tentera Rusia di Ukraine.

Negara-negara yang termasuk dalam senarai ini diketahui bukan sahaja dari Amerika dan Eropah, tetapi juga dari benua Asia.

Senarai itu termasuk:

  • Amerika Syarikat (AS)
  • Kanada
  • Negara Kesatuan Eropah
  • United Kingdom
  • Ukraine
  • Montenegro
  • Switzerland
  • Albania
  • Andorra
  • Iceland
  • Liechtenstein
  • Monaco
  • Norway
  • San Marino
  • Macedonia Utara
  • Jepun
  • Korea Selatan
  • Australia
  • Mikronesia
  • New Zealand
  • Singapura
  • Taiwan (dianggap sebagai wilayah China, tetapi diperintah oleh kerajaannya sendiri sejak 1949)

Kerajaan Rusia menyatakan bahawa menurut keputusan ini, rakyat dan syarikat Rusia, negara itu sendiri, wilayah dan majlis perbandarannya yang mempunyai kewajipan pertukaran asing kepada pemiutang asing dari senarai negara diatas, perlu membayar mereka dalam rubel.

Seperti yang diketahui, sejak pencerobohan ke atas Ukraine berlaku, Rusia berterusan menerima sekatan baru daripada pelbagai negara lain yang mengecam tindakan ini.

Malah terdapat sekatan yang menyasarkan secara langsung ahli politik, pegawai dan pemerintah di Rusia.

Sebagai contoh, aset asing Presiden Vladimir Putin di EU, AS, UK, Switzerland, Jepun dan Kanada akan dibekukan, walaupun beliau masih dibenarkan pergi ke negara tersebut.

Bukan sahaja Putin, Menteri Luar Rusia , Sergei Lavrov tidak terlepas daripada sekatan. Lavrov juga turut tertakluk kepada pembekuan aset di EU, UK, AS, Switzerland, Jepun dan Kanada.

Kesatuan Eropah berkata sekatan itu dikenakan kerana Lavrov bertanggungjawab dan secara aktif menyokong tindakan yang menjejaskan integriti wilayah, kedaulatan dan kemerdekaan Ukraine, serta kestabilan dan keselamatan di Ukraine .

Sumber: Tribun Papua

Zahirah