Lebih 100 pelarian Rohingya dari Myanmar dilapor tiba di sebuah pantai di Aceh, Indonesia dengan menaiki bot pada awal pagi Ahad baru-baru ini.
Bagaimanapun menurut Suara, sebahagian pelarian Rohingya tersebut didakwa berada dalam keadaan lemah tidak bermaya, dipercayai kerana kekurangan zat.
Menurut pihak berkuasa, pelarian Rohingya itu dilapor berlabuh di Pantai Jangka yang terletak berhampiran dengan Alue Buya Pasi, iaitu sebuah perkampungan nelayan di daerah Bireuan.
Selain itu, salah seorang sukarelawan daripada badan bukan kerajaan (NGO) Aksi Cepat Tanggap (ACT), Nurul Yana Daba berkata, sebahagian mereka dikatakan memerlukan rawatan.
“Lengan dan kaki salah seorang pelarian perempuan mengalami bengkak hingga tidak mampu untuk berdiri dan berjalan.
“Sementara itu, seorang lagi pelarian lelaki kelihatan kekurangan zat, mungkin kerana terlalu lama (berada) di laut,” katanya, memetik Suara.
Sangat lemah, tidak bermaya
Sementara itu, ketua komuniti nelayan setempat, Badruddin Yunus mendakwa, pelarian-pelarian itu juga kelihatan sangat lemah dipercayai akibat kelaparan serta dehidrasi.
Menurutnya, beliau sendiri tidak pasti ke mana sebenarnya hala tuju mereka berlayar kerana tiada seorang pun daripadanya yang boleh bertutur dalam Bahasa Indonesia.
Dalam pada itu, seorang penduduk setempat bernama Mukhtar mendakwa, ada antara pelarian Rohingya tersebut datang ke kampung mereka untuk meminta bantuan.
BACA JUGA: Pelarian Rohingya: APMM Pantau Bot Dari Indonesia
“Mereka meminta perlindungan dan kami akan serahkan perkara ini kepada pihak berwajib.
“Kami mengalu-alukan kehadiran mereka sebagai tetamu (kami, selaku) sebagai seseorang yang berperikemanusiaan,” katanya.
Menurut Suara, pelarian-pelarian Rohingya itu terdiri daripada 58 lelaki, 21 wanita serta 35 kanak-kanak.
Dalam masa sama, seorang pegawai tempatan, Alfian menjelaskan, penduduk kampung turut menyediakan bantuan makanan untuk pelarian itu, namun tidak sangka mereka akan tinggal di sana selama tempoh itu.
Imbas kembali, seramai 100 pelarian Rohingya yang hanyut akibat berada di dalam kapal yang hampir karam di Pantai Barat Indonesia berjaya diselamatkan oleh Tentera Laut Indonesia.
Difahamkan, Indonesia bukanlah negara penandatangan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Untuk Pelarian 1951 setakat ini.
Namun Indonesia sering terlibat sebagai negara transit oleh pelarian yang mencari mana-mana negara membangun untuk ‘berlabuh’.
Untuk rekod, kira-kira lebih 730,000 pelarian Rohingya yang telah melarikan diri dari Myanmar sejak keganasan etnik berlaku pada 2017 lalu; yang memaksa mereka tinggal di kem-kem di sempadan Bangladesh.
Sebahagian besar mereka melarikan diri menggunakan jalan laut dan berlayar ke negara terdekat lain seperti Malaysia, Thailand dan Indonesia antara November hingga April, iaitu ketika keadaan (ombak) laut masih tenang.
Malah ratusan daripada mereka juga turut ‘berlabuh’ di Aceh sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Sumber: Suara.com