Pemilik sebuah rumah terkejut apabila mendapati bahawa rumah yang disewakannya penuh dengan timbunan sampah sarap.
Pemilik rumah, Phil Tewkesley menyatakan bahawa penyewa sebelum itu telah menggunakan alasan wabak pandemik COVID-19 sebagai alasan untuk menghalangnya daripada datang ke rumah tersebut.
Ketika Phil Tewkesley akhirnya dapat memasuki rumah yang terletak di Kendal, Cumbria itu, dia sangat terkejut dengan apa yang ditemuinya.
Selepas berjaya meredah timbunan sampah di dalam rumah itu, dia telah menemui seekor ular sawa ‘gergasi’ mengintai di penjuru bilik rumah tersebut. Ular itu berbaring meringkuk di dalam tangki dengan tiga ular lain di mana dua daripadanya telah mati.


“Saya ternampak sebuah tangki besar ini dan ia kotor. Saya melihat dengan lebih dekat ke dalam tangki dan saya terkejut kerana terdapat ular gergasi yang sedang meringkuk.
“Saya ketakutan, saya menjerit dan terus lari keluar dari rumah kerana terkejut melihat sesuatu seperti itu yang sangat sukar dipercayai”, kata Phil.
Antara benda lain yang ditemuinya adalah tumbuhan yang telah mati, botol Irn Bru, ujian Covid dan salinan akhbar tempatan West Moorland Gazette yang bersepah di atas lantai.
Semasa membersihkan, Phil dan pasangannya, Lisa, telah terhidu bau air kencing yang sangat kuat.
“Sungguh sukar dipercayai, bukan sahaja dipenuhi dengan harta benda malah sampah dan makanan.
“Saya tidak pernah melihat perkara seperti itu seumur hidup saya, ianya seperti tempat pembuangan sampah yang ditutupi dengan bumbung di atasnya”, katanya.


Menurut jiran tetangga, penyewa tersebut sering menerima penghantaran bungkusan setiap hari tetapi tidak pernah membuang apa-apa.
Terdapat juga beberapa kerosakan dan lubang yang digigit di sekitar rumah yang disebabkan oleh tikus.
Apa yang lebih menyedihkan adalah, penyewa rumah itu dilaporkan tidak pernah membayar kadar sewaan kepada Phil dalam tempoh enam bulan.
Selepas mendapat maklumat daripada jiran, Phil diberitahu bahawa penyewa itu telah berpindah.
Selain daripada ular dan timbunan sampah, penyewa itu juga turut meninggalkan ikan, tarantula, dan kala jengking.
Menurut portal Metro.uk, ‘penyewa dari neraka’ itu dipercayai seorang yang mengaku bahawa dirinya pencinta haiwan dan menentang peninggalan haiwan.
Sebelum ini, penyewa tersebut telah menyelamatkan seekor ular sawa dan menyatakan bahawa ia akan ‘dijaga dengan baik’.

Terdahulu, Phil pernah mengeluarkan notis rasmi untuk penyewa tersebut mengosongkan rumah itu sekembalinya dia ke UK dari Australia pada akhir 2020, selepas tinggal dan bekerja di luar negara selama enam tahun.
Namun, penyewa itu bersama keluarganya enggan keluar dari rumah sewa selama hampir setahun. Phil hanya boleh mendapatkan semula akses ke rumahnya itu pada bulan Disember lalu.
Phil dilaporkan telah menghubungi pihak RSPCA dan meninggalkan kunci pendua kepada jirannya bagi membenarkan pihak penyelamat haiwan itu datang dan menangkap ular ‘gergasi’ itu pada malan tahun baru.
Dia kemudiannya mengambil masa kira-kira 54 jam untuk membersihkan semua sampah dan mengeluarkan permaidani yang kotor keluar dari rumah tersebut.
“Kosnya kira-kira £1,200 hanya untuk menyingkirkan barang-barang mereka dan ia akan menelan belanja berpuluh-puluh ribu lagi untuk mengembalikannya kepada keadaan yang sepatutnya,” tambahnya.
Sumber: Metro UK