India dalam satu kenyataan mengesahkan bahawa berlaku satu insiden peluru berpandu miliknya tertembak secara tidak sengaja ke arah Pakistan akibat kegagalan fungsi.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 9 Mac 2022, kejadian berkenaan berlaku semasa kerja-kerja penyelenggaraan kerosakan teknikal membabitkan aset tentera tersebut sedang dijalankan.
Terdahulu, Pakistan melaporkan sebuah peluru berpandu supersonik tanpa kepala peledak didakwa milik India telah ditembak ke wilayahnya dan jatuh berdekatan Mian Channu.
Insiden berkenaan dilapor menyebabkan bangunan milik orang awam rosak, namun tidak menyebabkan sebarang kecederaan.
Pakistan membantah keras insiden tersebut dan meminta India memberikan penjelasan.
Jurucakap tentera Pakistan dalam satu kenyataan berkata, sistem pertahanan udaranya berjaya menjejak dan mengawasi arah penerbangan perluru berpandu jenis udara-ke-udara itu sebaik sahaja ia dilancarkan dari wilayah India di Sirsa, kira-kira 104 kilometer daripada sempadan kedua-dua buah negara.
Dari laluan asalnya, peluru berpandu berkenaan secara tiba-tiba menukar haluan dan menceroboh ruang udara Pakistan. Peluru berpandu itu dilapor terbang pada altitud 12 kilometer dan berada dalam ruang udara Pakistan selama 204 saat sebelum jatuh kira-kira 124 kilometer dalam Pakistan daripada sempadan Timur berdekatan Punjab.
BACA: Pengawal Keselamatan Maut, Seorang Cedera Ditembak Berhampiran Sebuah Bank Di Puchong Prima