Siakap Keli
Gambar: DW, Daily Mail

MH17: Australia & Belanda Lancar Tindakan Undang-Undang Terhadap Rusia

Australia dan Belanda dilaporkan telah melancarkan tindakan undang-undang terhadap Rusia berhubung nahas pesawat Malaysian Airlines MH17 yang berlaku pada 2014.

Menurut portal Daily mail, kedua-dua negara telah melancarkan prosiding dalam Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa, dengan menamakan Rusia sebagai pihak yang bertanggungjawab atas insiden itu di bawah undang-undang antarabangsa.

Terdahulu, pesawat itu dilaporkan telah ditembak jatuh pada 17 Julai 2014, membunuh kesemua 298 orang di dalam kapal, termasuk 38 warga Australia.

Perdana Menteri Australia, Scott Morrison berkata bahawa tindakan undang-undang itu merupakan suatu langkah besar ke hadapan dalam kebenaran dan kebertanggungjawaban untuk tindakan keganasan yang ‘dahsyat’.

“Keengganan Persekutuan Rusia untuk bertanggungjawab terhadap tindakannya dalam menjatuhkan Penerbangan MH17 adalah tidak boleh diterima dan kerajaan Australia sentiasa menegaskan bahawa ia tidak akan mengecualikan sebarang pilihan undang-undang dalam usaha mencari keadilan untuk kami,” kata Morrison dalam satu kenyataan.

Tindakan undang-undang yang difailkan oleh kedua-dua negara itu akan ditambah dengan pendakwaan Belanda terhadap empat suspek berhubung penglibatan secara individu dalam insiden itu.

Australia dan Belanda akan bergantung pada bukti bahawa penerbangan itu telah ditembak jatuh oleh peluru berpandu Rusia di timur Ukraine, kawasan yang berada di bawah kawalan pemisah yang disokong Rusia.

Peluru berpandu itu dilaporkan milik briged tentera antipesawat ke-53 Rusia, dan diiringi oleh kru tentera Rusia yang terlatih.

Kedua-dua negara berkata bahawa bukti menunjukkan peluru berpandu itu hanya boleh dilepaskan oleh kru Rusia yang terlatih, dengan sistem peluru berpandu kemudiannya kembali ke Rusia sejurus selepas insiden itu.

Tindakan undang-undang ke atas MH17 dibuat ketika beberapa negara barat telah mengenakan pelbagai sekatan terhadap Rusia atas pencerobohan terhadap Ukraine.

“Pencerobohan tanpa provokasi dan tidak wajar Rusia ke atas Ukraine serta peningkatan pencerobohannya memaksa untuk meneruskan usaha yang berterusan kami bagi meminta Rusia bertanggungjawab atas pelanggaran undang-undang antarabangsa dan Piagam PBB secara terang-terangan,” katanya.

Rusia dilapor menarik diri daripada rundingan dengan Australia dan Belanda pada oktober 2020 mengenai MH17.

Rusia difahamkan tidak kembali ke meja rundingan, walaupun permintaan berulang kali dilakukan oleh Australia dan Belanda.

Morrison berkata, usaha undang-undang itu akan membantu memberikan keadilan kepada keluarga mangsa.

“Walaupun kita tidak boleh menghilangkan kesedihan mereka yang kehilangan orang tersayang akibat tindakan Rusia, kerajaan Australia akan mencari jalan yang ada untuk memastikan Rusia dipertanggungjawabkan supaya perbuatan keji ini tidak berulang lagi,” katanya.

Sumber: Daily Mail  

Aqmal Ezany

I write what is right